Usaha penjenamaan semula RTM fokus golongan muda
GEORGETOWN - Penjenamaan semula yang sedang dilakukan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertujuan menarik audiens baharu dalam kalangan golongan muda selain mengekalkan minat golongan lebih dewasa, kata Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Strategiknya, Nor Yahati Awang.
Katanya, usaha yang turut melibatkan pengenalan program-program baharu dilaksanakan sejak Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang mana RTM menjadi satu daripada agensinya diterajui menteri, Gobind Singh Deo.
"Generasi X dan 'Baby Boomers' (generasi lahir sebelum 1980) sememangnya membesar bersama RTM tetapi generasi Y lebih mengenali stesen-stesen radio lain. Kita mahu meremajakan program-program yang sedia ada dan generasi muda membantu membangunkan program-program yang lebih mantap,” katanya.
Ditemui selepas menghadiri majlis penjenamaan semula Program Syoknya Hindi 'Bolly Glam' MUTIARAfm di sini malam tadi, beliau berkata usaha mengekalkan minat golongan muda ini akan dilaksanakan berterusan bagi menyedarkan mereka tentang peranan RTM sebagai antara agensi yang menyalurkan maklumat berhubung program dan dasar kerajaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!