Pemandu bas berdepan 9 pertuduhan
SEREMBAN - Seorang pemandu bas dihadapkan ke Mahkamah Khas Trafik Seremban hari ini atas pertuduhan memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian seorang mangsa dan lapan lagi cedera, Mei lalu.
Bagaimanapun, tertuduh Othman Iberahim, 51, yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan dihadapi di hadapan Majistret Nurzaliza Tesmin.
Mengikut pertuduhan, Othman secara memandu bas henti-henti (Mybas) secara melulu dan merbahaya kepada orang awam hingga menyebabkan kematian Muhammad Firdaus Syarul Azam, 17.
Perbuatan itu dilakukan pada 23 Mei 2019 pada jam 3.30 petang di Jalan Pantai - Bukit Tangga, Nilai.
Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara antara dua tahun dan 10 tahun dan denda dari RM5,000 hingga RM20,000.
Selain itu, pada tarikh dan di lokasi sama, tertuduh turut mengakibatkan cedera kepada Iman Danial Abdullah, 17; Nur Aina Syazwani Nazri Ismail,17; Nurul Farah Izzati Mohd Nor,17; Nur Anis Nabilah Mohd Faizal,17; Nurun Ainun Nabilah Fauji, 17; R Janagan, 16; R Mahendran, 14 dan K Sharveswary, 15.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum di bawah akta sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!