Tubuh pusat pengurusan wakaf di IPT: Mujahid
KUALA LUMPUR - Pusat pengurusan wakaf di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu ditubuhkan agar ia dapat dikendalikan dengan lebih sistematik dan holisitik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Beliau berkata, penambahbaikan bagi konsep wakaf juga perlu dibuat bagi melestarikan institusi pengajian di negara ini dengan mempunyai sumber dananya sendiri yang dapat dimanfaatkan untuk pembangunan universiti terbabit.
"Wakaf ini merupakan instrumen penting dalam pengurusan hal ehwal umat Islam namun ia tidak hanya terbatas pada pemberian tanah sahaja.
"Konsep wakaf ini juga ingin dibawa ke satu peringat lain seperti wakaf pendidikan, alam sekitar, perubatan dan sebagainya," katanya selepas merasmikan Pusat Pengurusan Wakaf Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), di sini hari ini.
Beliau berkata, UPNM merupakan satu daripada lima perintis yang menjadi 'mutawalli' atau wakil untuk membolehkan mereka melaksanakan kutipan wakaf selain Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Kolej Poly-Tech Mara dan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur.
Mujahid berkata, selain untuk pembangunan institusi, dana yang diperoleh juga akan dapat membantu kebajikan penuntut IPT yang memerlukan seperti pembiayaan yuran pengajian.
Mengulas mengenai perkembangan akta wakaf yang masih di peringkat penggubalan penasihat undang-undang di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mujahid berkata antara kepentingan akta itu adalah bagi menubuhkan badan yang akan membuat pemantauan ketelusan dan kebertanggungjawapan aktiviti wakaf.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!