CYBERJAYA - Siasatan terhadap video seks tular yang didakwa mempunyai kaitan dengan seorang menteri, menjadi keutamaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kata pengerusinya, Al-Ishsal Ishak. Beliau berkata Jawatankuasa Jenayah Siber, iaitu kerjasama antara polis dan SKMM, ditubuhkan bagi menjalankan siasatan terperinci sejak video itu tular dalam media sosial pada Selasa lalu. "Kami sedang melakukan proses siasatan yang biasa dengan polis mempercepatkan perkara ini memandangkan ia membabitkan kepentingan nasional. "Kami sedang berusaha bersungguh-sungguh," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran "The CEO Pledges for Telecomunications Sektor", di Auditorium Level 21, di SKMM Cyberjaya di sini hari ini. Mengulas lanjut, Al-Ishsal berkata, pihaknya kesal apabila pengguna menggunakan teknologi dan peralatan untuk kemudahan komunikasi bagi menyebarkan perkara yang menyalahi undang-undang. ARTIKEL BERKAITAN: Biar polis jalankan siasatan Tegasnya, rakyat Malaysia perlu faham, menyebar, memuat naik atau berkongsi kandungan berunsur lucah di laman sosial adalah salah di sisi undang-undang. Mengulas lanjut, Al-Ishsal berkata, SKMM dan PDRM kini giat melakukan siasatan dan menyelesaikan kes-kes terutamanya melibatkan pengguna dan keselamatan. Menurutnya, sebagai rakyat Malaysia sudah semestinya tidak mahu hidup dalam suasana yang menggunakan peralatan atau kemudahan teknologi untuk tujuan menyebarkan maklumat-maklumat yang tidak sahih. Mengulas mengenai adakah siasatan turut dilakukan terhadap pihak yang menyebarkan maklumat berkenaan, Al-Ishsal berkata, sesiapa yang tidak berpuas hati dengan maklumat yang diterima silalah membuat laporan melalui laman sesawang iaitu aduan.skmm@gov.my. Beliau berkata, biarlah pihak polis mengkaji dan menentukan kesahihan video tersebut dan siasatan SKMM berpandukan kepada siasatan pihak polis. Terdahulu SKMM memaklumkan pihakanya bersedia memberi kerjasama penuh terhadap siasatan polis berhubung penyebaran kes video yang dikaitkan dengan seorang menteri.