Bengang dituduh mencuri, lelaki hampir tembak adik sendiri
KUALA TERENGGANU - Gara-gara tidak berpuas hati, seorang abang hampir menembak adik perempuannya menggunakan senapang angin di sebuah rumah di Tepoh, Kuala Nerus, Selasa lalu.
Dalam kejadian 8.30 malam, lelaki berkenaan dikatakan naik angin kerana dituduh mencuri duit RM100 milik adiknya itu.
Menurut sumber, suspek cuba hendak menembak mangsa menggunakan senjata itu semasa mangsa, 30, sedang berehat di rumah sebelum suspek secara tiba-tiba mengamuk sambil memegang senapang angin miliknya.
"Suspek yang berusia 40-an itu dikatakan masih berdendam dengan mangsa kerana menuduhnya mencuri duit yang hilang sebelum ini meskipun kejadian itu sudah berlaku beberapa hari sebelum itu.
"Difahamkan sehari sebelum itu, kira-kira jam 8 malam, suspek pernah melepaskan tembakan dengan senapang angin sama ke arah mangsa, tetapi wanita itu bernasib baik kerana sempat mengelak," katanya ketika dihubungi.
Sumber berkata, disebabkan rasa takut dan risau akan keselamatan diri serta keluarga lain pada masa akan datang, mangsa mengambil keputusan melaporkan kejadian kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan 39 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata iaitu senapang angin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!