PM ucap terima kasih kepada Chong Wei
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan terima kasih kepada jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei atas sumbangannya hampir dua dekad dalam sukan itu.
Dr Mahathir berkata, Malaysia akan merasai kehilangan seorang juara setelah Chong Wei mengumumkan persaraannya.
"Saya berasa terharu dan sedih kerana juara kita sudah bersara. Saya harap beliau dapat rehat dan sembuh daripada sakit yang dihidapinya.
"Saya ucap terima kasih banyak kepada Chong Wei kerana telah meletakkan Malaysia sebagai juara dalam sukan dunia ini berkali-kali," katanya dalam sebuah video yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.
Sementara itu, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali berkata, Chong Wei membuat keputusan tepat apabila mengutamakan kesihatannya berbanding pingat emas Olimpik.
"Keluarga, isteri dan dua anak anda sedang menunggu anda. Seperti dimaklumkan, anda sedang melatih anak-anak anda bermain badminton.
"Insya-ALLAH anda akan melihat anak-anak anda bermain badminton dan dapatkan emas Olimpik untuk anda. Saya doakan anda diberikan kesihatan yang baik dan kegembiraan bersama keluarga dan anak-anak," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Chong Wei tetap ke Olimpik Tokyo 2020
Semalam, Chong Wei mengumumkan persaraannya setelah hampir dua dekad mengabdikan diri dalam arena badminton.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!