Kanak-kanak kritikal jatuh tingkat 4 apartmen
SERDANG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun kritikal selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah apartmen di Bandar Baru Permai, Seri Kembangan, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, kejadian itu diterima pihak Hospital Serdang hasil maklumat orang awam.
Menurutnya, pihak hospital bergegas ke lokasi dan dapati seorang kanak-kanak lelaki dalam keadaan parah dan tidak sedarkan diri.
"Kanak-kanak terbabit mengalami luka di bahagian kepala, tangan kiri dan kanan patah, paha kiri dan kanan patah serta alami pendarahan di bahagian perut serta paru-paru.
"Mangsa yg masih hidup dikejarkan ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut dan kini berada di zon merah (kritikal)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai tergelincir ketika bermain berdekatan dengan balkoni rumahnya.
Jelasnya, bagaimanapun siasatan lanjut sedang diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!