Tolak politik kotor
MUAR - Rakyat di negara ini diseru untuk bersama-sama menolak politik kotor yang menjadi agenda beberapa pihak tidak bertanggungjawab.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub berkata, sudah sampai masanya fitnah dilemparkan dipandang serius dan secara bersekutu menolak kerana keadaan ini turut memberi kesan kepada maruah negara.
“Jangan kita ketawa dan merasa seronok, jangan kita bergembira dengan fitnah kotor sebab ia boleh berlaku pada semua. Kalau isu ini terjadi, bangsa akan punah dan menjadi sebuah bangsa yang tak bertamadun.
“Saya ajak rakyat Malaysia tolak politik jijik dan kotor. Beri peluang kepada pihak berkuasa dan beri kepercayaan pada PDRM untuk mengambil tindakan berkaitan isu ini. Ia sangat memalukan, bukan pada kita sahaja, tetapi satu dunia akan ketawa dengan politik kotor begini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Aidilfitri ADUN Simpang Jeram di Jalan Dato Haji Kosai di sini, hari ini.
Salahuddin yang juga ADUN Simpang Jeram berkata, beliau bersama seluruh kepimpinan tertinggi Amanah menolak fitnah sedemikian dan meminta Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sekeluarga terus tabah menghadapi ujian itu.
“Kita perlu perjuang politik baru dan politik berilmu. Jadi contoh pada orang Islam dengan mengamalkan politik secara amanah. Saya yakin kebenaran akan ditunjukkan dan berharap polis akan mengambil tindakan lanjut. Perkara ini langsung tak boleh diterima sama sekali,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!