Pembubaran Parlimen melibatkan kos besar

Kassim Thukiman
Kassim Thukiman
A
A
A

JOHOR BAHRU - Meskipun terdapat pelbagai isu yang timbul dalam pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini, namun solusi pembubaran Parlimen tidak semestinya perlu dilakukan.

Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Kassim Thukiman berkata, ini kerana terdapat pelbagai implikasi jika pembubaran Parlimen dilakukan terutamanya melibatkan kos.

"Negara kita menghadapi masalah ekonomi. Kalau pilihan raya umum (PRU) diadakan semula, pasti ia melibatkan perbelanjaan yang besar. Maka Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menggunakan kebijaksanaannya sebagai Perdana Menteri untuk menggerakkan seluruh kabinet dan institusi kerajaan bagi menarik semula kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

"Ini berikutan selepas PRU diadakan pada 9 Mei tahun lalu, rakyat mahukan dasar lebih baik daripada kerajaan BN sebelum ini. Jadi, sebenarnya rakyat masih tertunggu-tunggu lagi dasar yang boleh memanfaatkan mereka," katanya sebagai mengulas cadangan pembubaran parlimen dengan segera oleh Presiden Ikatan Muslimim Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya dalam satu laporan media hari ini.

Kassim berpendapat, pembubaran Parlimen mungkin dilakukan jika PH tidak mendapat suara majoriti di Parlimen atau Perdana Menteri tidak mendapat keyakinan daripada rakyat.

"Maka, pada hemat saya PH perlu menjalankan strategi lebih baik. Strategi yang perlu dilakukan termasuklah kurangkan berpolitik tetapi lebih kepada melaksanakan dasar kerana rakyat sudah jemu dengan politik.

"Apabila kerajaan melaksanakan dasar, maka rakyat mendapat manfaat. Contohnya apabila kerajaan menangani isu rasuah, rakyat akan menyokong kerana rasuah telah menyebabkan negara kita rosak," katanya.

Menurutnya, pemimpin dalam PH perlu ada kesatuan pemikiran dan dinasihatkan supaya bergerak bersama serta tidak mengikuti parti masing-masing lagi.

Artikel Berkaitan:

"Yang kita dapat lihat, menteri menjawab satu-satu isu itu mengikut selera mereka dan inilah yang rakyat melihat PH tidak kukuh. Maka, Tun perlu gunakan pengalaman lamanya sebagai Perdana Menteri menggerakkan kabinet untuk bekerja secara kolektif.

"Pemimpin-pemimpin PH juga perlu menunjukkan bahawa mereka pasukan yang lebih baik daripada BN dan jangan timbulkan isu yang boleh menghilangkan kepercayaan rakyat. Transformasi dalam kalangan pemimpin PH juga perlu nampak supaya rakyat menghargai dasar-dasar kerajaan," katanya.

Kassim berkata, dalam konteks pembinaan negara bangsa kerajaan PH tidak boleh toleransi dengan isu perlembagaan termasuk yang membabitkan kedudukan Institusi Raja-raja Melayu.

"Contohnya kedudukan raja-raja kena pertahankan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Tidak boleh sesetengah pihak menafikan hak bangsa Melayu seperti kedudukan hak istimewa orang Melayu.

"Kena ingat kalau perkara ini tidak ditangani dengan bijaksana, persepsi rakyat terhadap kerajaan memang seperti sedia ada dan boleh saya anggap lulus sahaja. Maka, PH perlu pulihkan segera kewibawaan mereka yang diharap dapat membawa perubahan besar ke arah Malaysia maju dan disegani di peringkat global," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!