SPRM kunjungi TM untuk dapatkan maklumat
CYBERJAYA - Telekom Malaysia Bhd (TM) mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada mengunjungi ibu pejabat syarikat telekomunikasi itu di Kuala Lumpur semalam bagi mengumpul dan mendapatkan maklumat.
“Ya, saya sahkan SPRM memang ada mengunjungi ibu pejabat TM semalam,” kata Ketua Pegawai Operasi Imri Mokhtar selepas majlis menandatangani ikrar mesra pelanggan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), di sini hari ini.
Imri menegaskan bahawa TM komited memberi kerjasama sepenuhnya untuk menyalurkan sebarang maklumat yang diperlukan SPRM.
Ditanya mengenai tujuan kunjungan SPRM itu, Imri berkata adalah lebih adil dan baik untuk memastikan siasatan diteruskan terlebih dahulu.
Kunjungan SPRM ke ibu pejabat TM itu berlaku pada hari yang sama Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin diumumkan sebagai ketua pegawai eksekutif kumpulan, pengarah urusan dan pengarah eksekutif yang baharu.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!