49 warga asing langgar peraturan Imigresen ditahan

No Image Caption
A
A
A

BUTTERWORTH - Pemeriksaan berterusan Jabatan Imigresen Pulau Pinang di beberapa lokasi di negeri ini membawa kepada penahanan 49 warga asing yang melanggar peraturan imigresen sehingga semalam, kata Pengarah Imigresen negeri Muhamad Husni Mahmud hari ini.

Dalam operasi kira-kira pukul 10 malam tadi di sebuah pusat hiburan di Kawasan Perniagaan Simpang Ampat, petugas penguatkuasaan Imigresen menahan 17 wanita warga Thailand dan seorang wanita warga Laos yang bekerja sebagai pelayan pelanggan di situ.

“Kami turut menahan seorang lelaki warga Thailand bekerja di situ dan kesemua mereka yang berumur di antara 20 dan 35 tahun itu didapati melanggar peraturan imigresen seperti menyalahgunakan pas lawatan sosial, tidak memiliki dokumen perjalanan dan tiada permit kerja yang sah,” katanya di sini.

Seterusnya lima warga Thailand yang terdiri dari empat lelaki dan seorang wanita ditahan di sebuah restoran masakan Thai di Bandar Putra Bertam di Kepala Batas sementara lima warga Bangladesh, tujuh warga Indonesia dan empat warga Myanmar ditahan di sekitar Tanjung Tokong dan Tasek Gelugor.

Tujuh lagi warga Bangladesh termasuk seorang wanita, seorang lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki warga Pakistan ditahan di sebuah kawasan perkuburan Cina di Bukit Mertajam dan kesemua yang ditahan telah dihantar ke Depoh Tahanan Warga Asing di Juru untuk tindakan lanjut. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!