Taktik bertahan strategi Dharma hadapi Korea Selatan

Muhammad Dharma Raj Abdullah
Muhammad Dharma Raj Abdullah
A
A
A

SKUAD hoki wanita negara macam sudah tahu apa yang bakal berlaku apabila menentang pasukan gergasi Korea Selatan pada separuh akhir Kejohanan Siri Akhir FIH di Ireland Utara, malam esok.

Percaturan taktikal pengendali skuad Malaysian Tigress, Muhammad Dharma Raj Abdullah nampaknya lebih terarah kepada strategi bertahan sebagai satu unit dan pantas melakukan serangan balas apabila mendapat peluang.

Pendekatan tersebut jelas menggambarkan 'malapetaka’ bakal melanda skuad negara apabila berdepan ujian sebenar dengan pasukan yang belum pernah ditewaskan dalam beberapa pertemuan sebelum ini.

Justeru, Dharma mengakui kehebatan pasukan pilihan kejohanan itu, malah meminta anak buahnya kekal fokus sepanjang perlawanan dan melupakan kejutan mengetepikan Perancis 3-2 pada aksi penyingkiran semalam.

“Semua tahu Korea Selatan adalah satu pasukan bukan calang-calang kerana sentiasa membuat penampilan di Piala Dunia dan Sukan Olimpik, selain jurang ranking kita dengan mereka cukup berbeza di mana mereka di ranking ke-11 dunia dan kita di tangga ke-22.

“Mereka merupakan satu pasukan yang besar (hebat) dan selain Ireland, Korea Selatan merupakan pasukan pilihan kejohanan,” katanya seperti dipetik dalam laman sesawang Konfederasi Hoki Malaysia (MHC); www.mhc.org.my, hari ini.

Biarpun terpaksa berdepan dengan pasukan gergasi itu, beliau mengingatkan anak buahnya supaya jangan gentar dan menampilkan aksi terbaik masing-masing.

Malaysia, yang belum pernah layak ke Sukan Olimpik sejak hoki wanita pertama kali diperkenalkan pada edisi 1980 di Moscow, muncul naib juara di belakang tuan rumah, Ireland, dalam Kumpulan B.

Artikel Berkaitan:

Malaysia tewas 2-1 kepada Ireland pada aksi pembukaan kumpulan sebelum membelasah Singapura 12-0, Republik Czech 3-1 sebelum mengejutkan Perancis 3-2 dalam aksi play-off.

Dalam pada itu, Korea Selatan layak secara automatik ke separuh akhir selepas muncul juara Kumpulan A dengan mengalahkan Ukraine 5-0, Scotland 3-1 dan Perancis 1-0 dalam saingan peringkat kumpulan.

Dalam pada itu, satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan pertemuan antara Ireland dan Republik Czech.

Kedua-dua aksi separuh akhir berlangsung esok dengan perlawanan Ireland-Republik Czech berlangsung pada jam 8.15 malam (waktu Malaysia) dan Malaysia-Korea Selatan pada jam 10.30 malam.

Dua pasukan terbaik daripada kejohanan ini akan layak ke pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik 2020 Tokyo pada Oktober dan November ini.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!