Polis tahan dua suspek kes curi tular di media sosial

No Image Caption
A
A
A

BINTULU - Polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes curi beg tangan seorang wanita di sebuah pasar raya di Medan Raya yang tular di media sosial, petang tadi.

Ketua Polis Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, suspek pertama berusia 27 ditangkap oleh orang awam di lokasi kejadian setelah mangsa seorang wanita berusia 56 tahun menjerit meminta bantuan sejurus selepas suspek mencuri beg mangsa di atas meja makan di pasar raya berkenaan.

"Suspek melepas beg tangan mangsa semasa melarikan diri sebelum berjaya ditangkap orang awam manakala suspek kedua yang berusia 27 tahun juga berjaya melarikan diri menggunakan motosikal," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, polis menerima panggilan pukul 3.45 petang dan terus bergegas ke lokasi kejadian untuk menahan suspek pertama manakala rakan suspek telah menyerahkan diri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu selepas kejadian itu.

Video salah seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam kes itu tular di Facebook dan WhatsApp petang ini memandangkan ianya berlaku di sebuah pasar raya popular di sini dan dilakukan ketika mangsa sedang makan bersama dengan suami serta anaknya di medan selera di dalam pasar raya itu.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!