Mengapa Melayu perlu fobia DAP?

A
A
A

DALAM artikel ini saya akan membincangkan isu kenapa harus orang Melayu takut dan benci kepada bayang-bayang DAP. Kini banyak tohmahan yang dilemparkan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri bahawa kedua-duanya di bawah telunjuk DAP.

Walaupun itu suatu tuduhan liar yang berbaur politik murahan, ramai orang Melayu dari kampung dan universiti percaya bulat-bulat tanpa usul periksa lagi. Dalam kolum ini saya akan berkongsi pengalaman saya sebagai seorang ahli biasa parti ini dan kenapa saya memilih untuk keluar daripadanya dalam usaha susunan strategi tanggungjawab saya sebagai warganegara berpendidikan tinggi.

Sebagai seorang ahli akademik, kesemua tulisan saya dalam kertas seminar, jurnal dan media massa adalah berpandukan kepada tiga prinsip teras diri saya. Pertama adalah kejujuran dan keadilan saksama sebagai nilai moral Islam. Islam memberi tanggungjawab kepada golongan ulama atau cerdik pandai untuk memberi pendidikan kepada semua rakyat dan umat serta memberi teguran konstruktif yang beradab kepada golongan pucuk pimpinan negara.

Prinsip kedua adalah tanggungjawab ahli akademik di universiti awam adalah untuk mendidik rakyat tentang isu-isu penting semoga mereka akan membuang undi berdasarkan isu-isu yang jelas dan bukannya sandiwara politik parti-parti tertentu. Juga, sebagai seorang rakyat negara demokratik, tanggungjawab menilai dan menasihati wakil-wakil rakyat yang memegang tampuk kepimpinan adalah suatu perkara yang amat penting dilunaskan.

Prinsip ketiga dalam pegangan hidup saya sebagai akademik ialah rakyat Malaysia yang membayar cukai, tidak kira Cina, Melayu, India, Kadazan, Sikh dan sebagainya adalah pemegang saham institusi awam seperti universiti. Selaras dengan gaji yang diberikan maka menjadi tanggungjawab saya sebagai ahli akademik bukan sahaja mendidik pelajar ijazah dan pasca ijazah hingga tahap Doktor Falsafah, saya juga perlu mewujudkan projek yang membaiki kehidupan semua masyarakat semampu boleh dan serasi dengan kepakaran saya.

Itulah tiga prinsip saya sebagai ahli akademik. Malangnya ramai rakan sekerja saya tidak mempunyai prinsip-prinsip yang sama. Prinsip-prinsip mereka hanyalah berpaksi kepada menurut mana-mana pemerintah dan untuk mengisi bakul kenaikan pangkat dan anugerah kebesaran semata-mata.

Maka itu, saya telah mengambil keputusan akademik untuk melihat dengan sendiri DAP dari dalam dan bukan mendengar khabar angin dan sandiwara orang Melayu di luar. Apabila dijemput untuk memasuki parti DAP enam tahun yang lalu, niat saya adalah untuk menjadi jambatan Melayu dan Islam bagi DAP supaya timbul kesefahaman semua pihak yang berasaskan fakta dan huraian perbahasan yang jelas, bukan yang berdasarkan tohmahan dan fitnah. Sewaktu menjadi ahli biasa, saya ditawarkan beberapa jawatan tinggi dalam parti tetapi saya menolak kerana memang saya tidak gemar dalam sepak terajang politik dalaman.

Perjuangan

Artikel Berkaitan:

Sewaktu saya menjadi ahli biasa Parti Islam Semalaysia 15 tahun dahulu, saya ditawarkan jawatan sedemikian tetapi saya tolak juga. Saya sempat menghadiri beberapa muktamar, mesyuarat peringkat tengah dan berbincang dengan ramai tokoh parti Pas. Saya meninggalkan Pas apabila golongan progresif ditendang keluar dan Pas kini menjadi duri dalam politik perkauman.

Sewaktu saya menjadi ahli DAP, saya pernah memberi pelbagai nasihat tentang strategi terbaik untuk membangunkan negara serta hubungan yang lebih baik di antara Melayu dan bukan Melayu dan Islam serta bukan Islam. Ada nasihat saya yang diterima dan ada juga yang tidak diterima. Saya menghormati keputusan pimpinan tertinggi DAP dalam hal ini kerana itu hak mereka sebagai sebuah parti politik.

Selepas kemenangan PH, saya mengambil keputusan untuk keluar daripada DAP atas dua sebab utama. Sebab pertama adalah banyak tulisan dan idea-idea saya tentang reformasi Islam dan minda Melayu telah disalahtafsirkan sebagai hasil pemikiran DAP. Sebenarnya kesemua tulisan saya adalah daripada integriti saya sebagai seorang ahli akademik yang bebas bersuara dalam konteks akademia beradab dan bertanggungjawab. Sebab kedua adalah saya telah dilantik sebagai penasihat sebuah NGO yang banyak menyumbang kepada perpaduan dan saya perlu dinampakkan sebagai non-partisan. Saya tidak meninggalkan DAP kerana kelemahan parti itu tetapi untuk menyusun semula strategi perjuangan saya sebagai ahli akademik Malaysia, sebagai seorang Muslim dan seorang rakyat yang bertanggungjawab.

Berdasarkan pengalaman saya, DAP adalah sebuah parti berintegriti dan bertanggungjawab. DAP bagi saya, bukannya musuh Islam atau Melayu. Cuma orang Melayu dan Islam sahaja yang telah ditakutkan dengan momokan parti-parti lawan yang tidak berintegriti serta tidak bermoral Islam walaupun dikatakan menganut agama tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!