Viral seks cemar syahdu Syawal

KOLUM: KOPI PAHIT HUJUNG MINGGU

A
A
A

PERBICARAAN tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan Datuk Seri Najib Razak sudah masuk hari ke-25 semalam.

Setakat ini berpuluh saksi telah memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dengan bekas Perdana Menteri itu setia berada di kandang tertuduh setiap hari perbicaraan.

Seperti yang diketahui semakin hari semakin hangat perbicaraan dengan semua orang memberi perhatian apakah kesudahan kes Najib yang menghadapi tujuh tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Sejak hari pertama di mahkamah orang ramai mengikuti apa sahaja berita mengenai perbicaraan itu. Mereka ingin tahu apa yang terjadi kepada ‘Bossku’.

Tetapi sehari dua ini orang tidak menghiraukan sangat kes ‘Bossku’ di mahkamah, sebab ‘satu Malaya’ asyik memberi tumpuan kepada satu kes yang lebih panas lagi menggemparkan, iaitu kes video seks.

VIDEO seks muncul ketika umat Islam masih dalam suasana meriah Idulfitri – bersalaman sambil bermaafan untuk mengeratkan silaturahim.

Ketika di sana-sini ketupat, rendang, bahulu dan semprit dihidangkan pada majlis rumah terbuka, di media sosial tular pula video buka-bukaan perlakuan seks songsang yang menjijikkan.

Tidak kira siapa yang yang melakukan, siapa yang menjadi dalang dan siapa yang menyebarkan, semua bersetuju bahawa ada agenda politik di sebalik penularan terkini video seks berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Maka sehari dua ini setiap saat ada tuduh-menuduh, syak-mengsyak, balon-membalon dan maki-memaki dalam kalangan sesama kita.

Beberapa laporan polis telah dibuat, ada yang ditangkap, ada yang digantung kerja dan politik kita menjadi hangat lagi cacamarba.

Politik longkang seperti ini sekali lagi membuktikan betapa hina dan busuknya – lebih busuk daripada bangkai babi! – sesetengah pemain politik kita.

Cukup-cukuplah dan hentikan penyebaran video-video lucah ini. Percayalah, rakyat sudah bosan dan meluat dengan politik haprak seperti ini!

TETAPI apa boleh buat, telah terbukti sejak dulu lagi binatang-binatang politik kita memang suka mengaibkan dan berusaha untuk saling menjatuhkan sesama mereka.

Malah mereka percaya salah satu kaedah berkesan membunuh kerjasa politik seseorang ialah melalui pendedahan skandal seks.

Dulu-dulu sebelum kecanggihan siber, skandal-skandal seks pemimpin politik disebarkan menerusi surat-surat layang dan gambar hitam-putih yang di-xerox berulang kali.

Kemudian tiba era rakaman video dan tersebarlah salinan-salinan video seks – termasuk di luar tabii – melibatkan pemimpin-pemimpin parti, tidak kira kaum dan agama.

Pada zaman internet ini selalu ada komplot @ konspirasi yang sengaja – macam tiada kerja lain! – mengintai dan merakam perlakuan seks seseorang, tidak kira di bilik hotel, di dalam rumah hatta di dalam tandas.

Soalan: apakah benar skandal seks dan video seks boleh menjatuhkan kerjaya politik seseorang? Memang ada seorang dua yang jatuh kerana skandal.

Tetapi ramai juga yang terus kebal, bintang politiknya semakin menyerlah walaupun orang tahu dia ada skandal yang busuk lagi menjijikkan.

Dulu, kini dan selamanya, kita memang telah terbiasa – dan dipaksa menerima – politik longkang.

AKHIR kalam, masih dalam kemeriahan Syawal, ada berita menyayat apabila ramai pekerja pembersihan bangunan sekolah, termasuk tukang kebun, diberhentikan kerja beberapa hari sebelum raya.

Malah menurut Setiausaha Persatuan Kontraktor Bumiputera Sisa Pepejal dan Pembersihan (Kosppem), Akram Shah Hanishah beribu-ribu pekerja sektor ini akan kehilangan pekerjaan.

Ini berikutan format tender baharu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mula dilaksanakan 1 Januari lalu. Contoh, pekerja di sekolah kebangsaan seramai tujuh orang dikurangkan kepada tiga manakala di sekolah menengah (dikurangkan) daripada sembilan kepada empat atau lima orang.

“Jika dibandingkan di seluruh negara, pekerja semasa seramai 90,000 orang akan dikurangkan sebanyak 50 peratus menyebabkan 45,000 orang kehilangan punca rezeki,” kata Akram seperti dipetik Utusan Malaysia.

Pendek kata berpuluh ribu lagi pekerja biasa akan hilang punca pendapatan. Sementara ramai lagi suku Bateq di Kampung Kuala Koh, Kelantan mungkin akan mati akibat pencemaran. Baik yang hilang pendapatan, mahupun yang hilang nyawa, macam tidak siapa peduli. Sebab orang kita, termasuk politikus, asyik dengan video seks!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!