Sebarkan berita yang baik sahaja
MUTAKHIR ini banyak pula berita-berita yang tidak menyenangkan tersebar di merata-rata. Di akhbar, di media sosial dan juga telah berlegar-legar pula di WhatsApp menyebabkan kecoh pula di seluruh negeri Tanah Melayu ini.
Berita-berita ini seperti kata peribahasa Melayu lama ‘memecah tuba.’ Kenapa orang tua dahulu kala menggunakan tuba pula tidaklah dapat dipastikan. Maka elok juga orang bijak pandai moden membuat kajian juga tentang peribahasa ini.
Kalau diikutkan dari kajian saya, perkataan tuba ini mempunyai beberapa definisi pula. Iaitu tuba juga bermaksud racun dan mengikut Dewan Bahasa lagi sejenis alat muzik daripada kumpulan bras yang lebih besar daripada trompet maksudnya. Mungkin berita yang tidak menyenangkan ini ibarat racun bagi yang mendengarnya ataupun berita yang mungkin dibesar-besarkan jika menggunakan maksud sejenis alat muzik pula.
Justeru, kenalah dengan maksud peribahasa ‘memecah tuba’ ini yang memberi maksud menyiarkan berita yang mencemaskan orang mendengarnya. Memang banyak berita mencemaskan yang dihidangkan kepada rakyat jelata mutakhir ini.
Ada berita-berita tentang kemalangan, kematian, pembunuhan dan terbaharu pula berita skandal berlawan pedang pula. Memang gerun pula ketika membacanya. Apatah lagi berita ini memang ramai yang menyebarkannya dan memperbesarkan dengan ulasan sendiri.
Maka, kenalah dengan peribahasa yang lain ini pula iaitu ‘pecah bunyi, buruk berita’, yang mempunyai maksud seperti yang saya terangkan di atas iaitu memperbesarkan kejadian yang tak baik dengan menceritakannya ke sana ke mari. Orang berfikiran moden zaman sekarang menyebutkannya sebagai ‘membawang’ pula.
Bagaimanapun, berita buruk ini sebenarnya hendaklah kita mengambil iktibar daripadanya juga. Iktibar dan pengajaran yang kita ambil supaya dapat menjadi tauladan di samping berhati-hati dalam kehidupan seharian kita.
Dan kalau kita pernah melakukannya maka bertaubatlah segera kepada Tuhan yang Maha Esa dan Maha Pengampun sementara diberi peluang hidup.
Berita-berita buruk begini seperti peribahasa Melayu lama, ‘angin tak dapat ditangkap, asap tak dapat digenggam.’
Seeloknya kita perlu menumpukan kepada berita yang baik sahaja. Berita-berita baik ini elok untuk pemikiran rakyat jelata juga. Bila pemikiran baik, maka eloklah perlakuan rakyat jelata. Perlakuan yang elok dan baik akan menyumbang kepada perlakuan yang lebih bermoral kepada masyarakat sekeliling kita sekali gus kepada pembangunan negara kita.
Banyak berita-berita baik yang boleh kita ambil iktibar dan tularkan kepada rakyat jelata. Antaranya berita kajian tentang kenaikan gaji bagi polis, berita tentang hubungan Pas dan UMNO yang sangat unik sekarang, tentang Dr Amalina yang berusaha mengubati adik Ainul, juga berita tentang pengusaha hotel disarankan untuk mempromosikan tentang minyak sawit dan berita sukan bola sepak kelayakan Piala Dunia. Berita-berita begini lebih membawa kepada kesejahteraan pemikiran kita berbanding berita yang menyeramkan untuk ditular.
Namun begitu, orang-orang tua dahulu kala dan bijaksana ada juga mencipta peribahasa tentang berita-berita baik ini. Peribahasa ini agak keliru juga maksudnya, tetapi jika difikirkan ada membawa kepada kebenaran juga.
Peribahasa yang saya maksudkan ini ialah ‘kerana mendengar bunyi’, yang membawa maksud terpedaya kerana mendengar berita baik sahaja. Nah, memang pernah terjadi juga dan terkena kepada batang hidung rakyat jelata juga.
Maka berhati-hatilah ketika mendengar bunyi. Kerana kita tidak tahu kadang-kadang bunyi apa yang sampai ke telinga. Ada bunyi yang bingit dan ada bunyi yang menyenangkan. Bunyi yang bingit mungkin kita tahu akan membawa kepada kecelakaan pula.
Tetapi bunyi yang menyenangkan ini sebenarnya yang sangat berbahaya dan boleh menjadikan rakyat jelata terpedaya juga. Mungkin pada pilihan raya seterusnya rakyat jelata akan dapat membezakan irama bunyi yang bingit dan bunyi yang menyenangkan.Perlakuan yang elok dan baik akan menyumbang kepada perlakuan yang lebih bermoral kepada masyarakat."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!