Lesen perubatan doktor dibatalkan kerana berpakaian seksi
NYAPYIDAW - Seorang model yang juga seorang doktor di Myanmar akan merayu keputusan majlis perubatan negara itu yang membatalkan lesen perubatannya kerana memuat naik gambar seksi di laman Facebook.
Pada 3 Jun lalu, Majlis Perubatan Myanmar bertindak menggantung lesen perubatan Nang Mwe San, dengan alasan wanita itu berpakaian tidak senonoh.
Mwe San berkhidmat sebagai doktor selama empat tahun sebelum menjadi model dua tahun lalu.
Wanita berusia 28 tahun itu sering memuat naik gambar memakai pakaian dalam, bikini dan juga pakaian tradisional Myanmar sambil beraksi seksi di laman Facebook miliknya.
Majlis Perubatan Myanmar mendakwa, Mwe San terus memuat naik gambarnya berpakaian tidak sesuai dengan tradisi Myanmar meskipun telah berjanji untuk berhenti berbuat demikian ekoran amaran yang diberi pada Januari lalu.
Mengakui berasa terkejut dan sedih dengan keputusan terbabit,Mwe San akan membuat rayuan kerana bukan mudah untuk menjadi seorang doktor.
"Terdapat banyak isu etika yang lebih penting dalam sektor perubatan Myanmar.
"Saya tidak mahu pihak majlis membuang masa menjaga isu remeh seperti karier modeling saya," kata Mwe San sambil menegaskan dia tidak akan meninggalkan dunia peragaan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!