Chong Wei buat saya seronok melatih, kata Misbun
KESUNGGUHAN dan komitmen tinggi yang ditunjukkan Datuk Lee Chong Wei membuatkan ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek tidak berasa ‘terbeban’, sebaliknya seronok membimbing bekas pemain nombor satu dunia itu.
Misbun berkata, satu sikap paling disukai ketika melatih pemain berusia 36 tahun itu adalah perasaan cemburu pada jaguh perseorangan lelaki negara itu, sekali gus menambahkan lagi warna dalam setiap sesi latihan yang diharungi bersama setiap hari.
Menurut Misbun, yang juga mentor kepada Chong Wei, pemain legenda itu akan menunjukkan rasa cemburu jika beliau memberi lebih perhatian dan masa dalam gelanggang kepada pemain lain.
"Saya suka sifat cemburu dia...cemburu yang membina. Dia (Chong Wei) tidak boleh lihat saya latih pemain lain terlalu lama, dia akan masuk (ke gelanggang), dia hendak ambil semula slot (latihan).
"Chong Wei sanggup datang awal sebab hendak memenangi hati saya (supaya beri lebih perhatian kepadanya). Kalau saya kata latihan 6 pagi, pukul 5.30 pagi dia sudah sampai.
"Dia buat saya seronok untuk melatih beliau dan saya rasa hendak datang lebih awal dan hendak tolong dia lagi dan lagi," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, di sini.
Kelmarin, pemenang pingat perak tiga kali Sukan Olimpik itu mengumumkan persaraan selepas 19 tahun berjuang membawa nama negara di persada antarabangsa.
Sudah pastinya, Misbun antara individu paling terkesan dengan keputusan Chong Wei itu, namun pada masa yang sama gembira kerana keputusan dibuat atas sebab kesihatan.
Misbun,yang juga legenda badminton era 80-an, bertanggungjawab mencungkil bakat Chong Wei ketika berusia 17 tahun, sekitar tahun 1999.
Misbun juga antara tenaga jurulatih skuad negara yang mengambil tempoh tujuh tahun untuk menggilap dan membentuk Chong Wei sehingga pemain itu berjaya meraih pingat perak pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing.
"Ia dua perasaan berbeza. Pertama, saya sedih dengan persaraannya selepas dia telah beraksi buat Malaysia dalam tempoh yang panjang selama ini.
"Kita dapat lihat pahit-maungnya untuk bergelar pemain terhebat, pemain nombor satu dunia. Itu juga sebahagian cita-cita saya. Selepas dia bersara, saya sedih dan terharu. Tetapi saya gembira melihat dia berjaya mengatasi penyakit kanser yang sangat berbahaya.
"Buat masa sekarang, kesihatannya sudah beransur pulih dan hampir seperti biasa. Itulah perasaan yang ada pada saya," katanya.
Sementara itu, Misbun sangat mengalu-alukan kehadiran Chong Wei pada sesi latihan skuad kebangsaan di ABM sebagai rakan sepelatih kepada pemain muda.
Beliau berkata kehadiran wira negara itu pastinya menjadi motivasi kepada pemain lain kerana Chong Wei mempunyai aura tersendiri.
"Saya dah cakap dengan dia bila-bila sahaja dia boleh datang, kerana bila dia datang untuk sesi latihan akan memberi satu motivasi yang sangat besar kepada pemain lain kerana dia sudah dianggap 'King of Superseries', tonggak Malaysia...legend.
"Apabila dia datang latihan, sudah tentu dia membawa satu karisma, ada aura di mana pemain hormat dan segan dengan dia. Biasa kita lihat pemain unggul seperti dia susah didekati dan hendak rapat tetapi kita nampak dia boleh datang ke gelanggang, akan memberi satu motivasi yang sangat besar," katanya.
Pada sidang media khas persaraannya, Chong Wei menyatakan kesediaannya untuk membantu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di belakang tabir bagi menggilap pemain sedia ada.
Katanya, beliau sedia menjadi rakan sepelatih kepada pemain lain, dan pada masa yang sama membantu untuk merealisasikan impian pingat emas pertama Malaysia pada temasya Sukan Olimpik. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!