10 bubu naga dirampas

10 bubu naga dikesan dipasang tanpa pengawasan di perairan Kuala Muda, Penaga oleh individu tidak bertanggungjawab.
10 bubu naga dikesan dipasang tanpa pengawasan di perairan Kuala Muda, Penaga oleh individu tidak bertanggungjawab.
A
A
A

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang berjaya merampas peralatan menangkap ikan yang dipercayai bubu naga pada jam 1 petang semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, rampasan itu dibuat dalam Op Pertiwi/Op Khas Pagar Laut 2/2019 di perairan Kuala Muda, Penaga, di sini.

Menurutnya, pihaknya mengesan bubu naga yang dipasang tanpa pengawasan oleh individu tidak bertanggungjawab itu ketika lima anggota penguatkuasa membuat rondaan di kawasan tersebut.

"Kita berjaya merampas 10 unit bubu naga yang dipercayai dipasang tanpa pengawasan dan kesemuanya dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk disiasat.

"Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan dengan cara menggunakan peralatan menangkap ikan secara haram iaitu bubu naga,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambahnya, APMM Pulau Pinang mengambil serius kesalahan tersebut kerana penggunaan peralatan bubu naga secara haram boleh menjejaskan sumber perikanan.

"Bubu naga ini bersifat tidak selektif selain turut memerangkap anak-anak ikan komersial. Ini akan memberi kesan buruk kepada sumber hasil laut dan memusnahkan ekosistem.

"Oleh itu, orang awam diminta melaporkan sebarang kejadian mencurigakan, kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi APMM Pulau Pinang di talian 04-2626146," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!