Jual dadah sambil bawa anak

Kereta Proton Persona yang dinaiki suspek untuk mengedar dadah ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Pusing kelmarin. (Gambar kecil: Ahmad Adnan)
Kereta Proton Persona yang dinaiki suspek untuk mengedar dadah ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Pusing kelmarin. (Gambar kecil: Ahmad Adnan)
A
A
A

BATU GAJAH - Empat individu termasuk seorang wanita ditahan polis kerana memiliki dadah bernilai RM14,250 dalam satu pemeriksaan sekatan jalan raya di Jalan Pusing di sini kelmarin.

Dalam pemeriksaan kira-kira jam 11.15 malam itu, wanita berusia 28 tahun itu turut ditahan bersama dua anak perempuannya berusia enam tahun dan 10 bulan dipercayai dibawa bersama untuk mengaburi kegiatan pengedaran dadah itu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, wanita bersama tiga lelaki masing-masing berusia 33, 22 dan 24 tahun menaiki Proton Persona ditahan dalam Op Bersepadu Pencegahan Jenayah.

“Pemeriksaan dalam but kenderaan menemui 18 peket plastik berisi dipercayai dadah jenis methamphetamine seberat 94.65 gram.

“Pemeriksaan ke atas wanita itu juga turut menemui dua peket plastik berisi bahan kristal disyaki dadah yang sama seberat 1.77 gram pada poket seluarnya,” katanya.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek yang bekerja sebagai buruh itu positif dadah dan lelaki berusia 24 tahun itu pula mempunyai rekod lampau dalam kes dadah.

“Siasatan mendapati kesemua suspek tiada pertalian persaudaraan dan mereka dalam perjalanan untuk menjual dadah berkenaan di sekitar Batu Gajah dan Teluk Intan.

“Kanak-kanak dan bayi terbabit telah diserahkan kepada abang kandung kepada suspek wanita terbabit untuk jagaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Adnan berkata, kesemua mereka direman selama tujuh hari sehingga Khamis depan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!