Tangisan si kecil dari Kuala Koh
GUA MUSANG - Dua botol air mineral bertudung merah jambu dan satu plastik topeng muka.
Itulah bekalan yang penulis jinjing di tangan. Sejujurnya tidak pernah seumur hidup penulis menyambut hari raya Aidilfitri dengan berbekalkan air mineral sebegitu. Namun, ia bukanlah bekalan untuk berhari raya di rumah saudara-mara sambil melaram baju baharu, tetapi untuk penulis ‘berhari raya’ bersama orang asli di Gua Musang.
Apa halnya aku perlu ke sana? Tidak perlu berkias, lagipun semua orang sudah pun tahu ketika itu, pada hari raya ketiga negara dikejutkan dengan berita kematian seramai 12 orang asli kaum Bateq di Kuala Koh.
Sinar Harian menjadi media pertama yang membongkar kematian misteri tersebut sehinggalah berita tersebut mula turut dilaporkan oleh agensi media lain dari dalam dan luar negara.
Berita mengejut itu mula tersebar bagaikan virus.
Bagi penulis, tugasan kali ini agak getir berbanding tugasan lain memandangkan tragedi itu meragut nyawa seorang demi seorang orang asli suku Bateq. Jika diikutkan perasaan memanglah hati ini berat untuk ke sana, bimbangkan penyakit misteri yang ketika itu masih belum tahu hujung pangkalnya akan berjangkit.
Kematian
Terlintas di fikiran-nanti diri sendiri pula yang menjadi mangsa ke-13. Nauzubillah. Selain tugas wajib memantau bahan di pejabat, penulis juga risaukan keadaan kesihatan anggota Skuad Gua Musang Sinar Harian, Siti Nor Akmaliah Razak yang beberapa hari membuat liputan kematian orang asli.
Siti Nor Akmaliah berulang alik masuk ke Kuala Koh sebelum ia diisytiharkan sebagai zon merah. Dia mengadu mata mula bengkak dan demam.
Azura Mohamad pula yang membuat liputan di Hospital Kuala Krai pernah berjumpa dengan ahli keluarga orang asli di sana memaklumkan mula batuk. Saya sangat bimbang, khuatir virus berjangkit kepada mereka.
Lega sedikit apabila Ketua Pengarang kami, Datuk Baharom Mahusin menghubungi dan meminta untuk pastikan kedua-duanya segera ke hospital.
Dalam pada saya mahukan pelbagai berita dari sana, kesihatan mereka tidak boleh sesekali saya abaikan. Alhamdulillah kedua-duanya kembali sihat.
Realiti orang asli
Namun peliknya, ketika berada di sana kebimbangan terhadap diri sendiri mula hilang sedikit demi sedikit. Mengapa hati sudah berubah?
Semuanya disebabkan diri ini melihat penderitaan orang asal itu sangat dahsyat. Melihat kulit mereka yang bersisik dan tidak selicin kulit orang lain, hati bertambah sedih. Menggaru kegatalan, mengadu badan kepanasan dan tidak ‘sedap duduk’.
Lebih menyentuh hati, apabila si kecil bertelanjang yang dikendong ibunya meraung. Saya tidak tahu sama ada anak kecil lingkungan usia dua tahun itu kelaparan atau dia juga menderita kesakitan.
Allahuakbar. Bersyukurlah wahai anak-anak moden di luar sana yang dibesarkan dalam keadaan yang lebih baik daripada si kecil itu. Cuba mendekati tetapi si ibu tabah itu memilih menjauhkan diri. Mungkin dia rasa tidak selesa bila laungan si kecil tadi semakin kuat atau memang sikap mereka malu dengan orang asing.
Penulis terfikir, di saat anak kecil lain disogokkan gajet untuk menghentikan tangisan tetapi di Kuala Woh, anak orang asli Bateq hanya diberikan botol susu kosong.
Kisah menyayat hati
Setelah cuba dipujuk dengan air kotak dan roti yang dibawa oleh kumpulan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) diketuai Johan Ariff Ismail, seorang ibu mula mesra.
Diberikan si anak comel tadi makanan, esakannya semakin reda. Alhamdulillah. Rupanya-rupanya dakwanya sudah hampir separuh hari anak itu menangis. Si ibu takut menggunakan air tandak untuk diberikan kepada anaknya.
Ketika itu, pada awal pendedahan kisah tragis ini, saya menerima panggilan telefon daripada sebuah NGO memaklumkan orang asli Bateq difahamkan sudah kehabisan makanan. Saya menghubungi Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid menceritakan penderitaan suku Bateq.
Ketika itu si bapa mahupun si ibu sudah tidak bertenaga untuk mencari makan. Mereka tiada kudrat menggelupur kesakitan menahan penderitaan dalam keadaan berlapar.
Sebelum itu, ada yang berbulan-bulan makan nasi dengan sambal. Mereka terpaksa makan kerana tidak mahu mati kelaparan. Ada yang makan ikan kering. Itu pun tidak membantu kerana cerita mereka, rasanya sangat pelik.
Keadaan semakin runcing apabila mereka takut untuk minum air daripada sumber sedia ada.
Kononnya mereka khuatir penyakit yang dihadapi itu dikatakan ketika itu ada kaitan dengan pencemaran sumber air.
Tidak sampai setengah jam, Mapim menghubungi semula dan memberitahu mereka dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk menghantar bekalan makanan.
Malam itu juga dibantu skuad Sinar Harian Gua Musang, Siti Nor Akmaliah Razak, bekalan dikumpulkan untuk dibawa masuk awal-awal pagi.
Perjuangan murni untuk suku Bateq
Namun begitu, di sebalik kegembiraan itu, hati tidak berapa senang. Hari pertama Sinar Harian membongkar kisah menyayat hati dan sepatutnya membuka mata semua pihak, ada juga si polan dalam media sosial menuduh akhbar ini mengutip maklumat di tepi jalan dan menuduh wartawan Sinar Harian sengaja mensensasikan perkara itu.
Tidak mengapalah, kami bukan menadah pujian dan menagih ucapan terima kasih. Tetapi selagi tulisan yang dihasilkan tidak melanggar etika kewartawanan sebenar, laporan mengenai orang asli itu perlu diteruskan sehingga menemui titik noktah. Bukankah itu peranan media?
Bukan mendabik dada tetapi boleh dilihat secara jelas isu tersebut telah mendapat respon dan tindakan segera dari orang nombor satu negara, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahukan tragedi menimpa orang asli Bateq segera disiasat.
Pelbagai pihak termasuk media tempatan dan luar negara antaranya wartawan portal Mongabay berkampung di sini.
Tersenyum seketika, saya juga teringat cerita si anak kecil yang meminta gula-gula lollipop daripada sukarelawan Mapim.
Bukan apa, si anak kecil itu tidak mengetahui yang mereka sebenarnya sedang 'berperang' dengan penyakit yang boleh menyebabkan suku Bateq pupus. Kawasan tinggal dan rayau mereka mungkin sudah tidak selamat.
Di mana lagi mereka hendak tinggal, mahu mencari makan? Di sebalik kejadian yang berlaku pelbagai andaian yang muncul dikaitkan aktiviti perlombongan dan penanaman.
Ada yang cuba berselindung, ada juga saling tuduh-menuduh. Tidak kiralah, apa sebab sekalipun, seorang penduduk, Mamat Ong pernah menyuarakan ketakutan mereka.
Sekiranya musibah yang menimpa kaumnya tidak diselesaikan dengan segera ia boleh menyebabkan mereka pupus sebagaimana hidupan binatang terancam di dalam hutan.
Perubahan alam sekitar termasuk keadaan air sungai juga bukan sahaja menghantui orang asli bahkan penduduk Kampung Mutiara, Aring 2 mendakwa sudah tidak lagi menggunakan kemudahan tersebut.
Air tercemar didakwa bertukar warna, malah lebih teruk ia berbau busuk dan berkeladak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!