Hasrat bantu ibu tidak tercapai, lumpuh selepas kemalangan
KUALA KRAI - Hasrat seorang lelaki bekerja untuk meringankan beban ibunya tidak kesampaian apabila terlibat kemalangan dan disahkan lumpuh, empat tahun lalu.
Kejadian menyebabkan Mohd Dorowee Awang,26,dari Kampung Manek Urai, yang merupakan anak bongsu dari lima beradik hilang upaya kekal.
Berikutan itu, dia tidak mampu menguruskan diri dan perlu dibantu ibunya, Siti Bidah Wahab,54, untuk bergerak.
"Selepas ayah meninggal dunia 16 tahun lepas, emaklah yang sara keluarga. Emak hanya buat kerja mengurut. Tengok mak, saya tekad nak bantu ringankan beban emak.
"Tapi, apakan daya... tak sangka, baharu sehari ganti sepupu bekerja sebagai kelindan lori, saya kemalangan," katanya ketika menerima kunjungan Wanita PKR Kuala Krai.
Selepas kemalangan juga, ibunya tidak bekerja kerana perlu menguruskan dirinya sementara tugas mencari rezeki diserahkan sepenuhnya kepada abang keduanya, Azman,30.
"Baru-baru ini mak pula disahkan menghidap kanser usus serta turut menghidap kencing manis.
"Jadi emak tidak lagi dapat uruskan saya seperti dahulu, dan abang Azmi ambil alih tugas emak, sementara abang Azman keluar bekerja untuk menyara kami sekeluarga," katanya.
Ceritanya lagi, dia perlu kerap ke Hospital Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan susulan.
"Setiap kali pergi sekurang-kurangnya perlu keluarkan wang RM20 untuk tambang kereta, pendapatan abang Azman yang bekerja kampung pula tidak seberapa, tambahan abang juga perlu menyara isteri dan anaknya.
"Saya simpati dengan abang terpaksa tanggung kami semua," katanya yang terharu dengan pengorbanan abangnya.
Katanya, Azman jugalah yang keluarkan perbelanjaan setiap kali ibunya ke Hospital Kuala Krai.
Sementara itu, Azman berkata, apa yang dilakukan adalah sekadar mengikut kemampuan dirinya.
"Kesempitan hidup menyebabkan kehidupan kami tidak seperti orang lain, masih menggunakan dapur kayu untuk memasak," katanya.
Azman juga baharu membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan berharap ia diluluskan.
Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga Mohd Dorowee boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional Dorowee Awang Kechik, 03005 41 00013362.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!