Permuafakatan UMNO, Pas perlu disokong penuh ahli
KOTA BHARU – Persefahaman dan permuafakatan antara UMNO dan Pas perlu disokong penuh ahli di semua peringkat.
Ketua Pemuda UMNO Negeri, Noor Hariri Mohd Noor berkata, kerjasama dalam penyatuan ummah tersebut amat penting bagi menyelamatkan kembali Malaysia daripada tangan DAP dan puak liberal.
“Sudah tentu pemimpin PH tidak senang duduk dengan penyatuan ummah Melayu ini kerana mereka tahu ini akan menjadi 'turning point' kepada kekuasaan kembali Melayu dam Islam di tanah air tanpa meminggirkan bangsa dan agama lain,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Menurutnya, keakraban dan penerimaan antara satu sama lain antara kedua-dua parti dapat dilihat dalam Majlis Sambutan Hari Raya Pas di sini kelmarin yang turut dihadiri kepimpinan tertinggi UMNO.
Beliau berkata, penyatuan tersebut membuktikan Pas dan UMNO berjiwa besar mengetepikan segala sejarah lampau demi suatu matlamat penyatuan ummah yang lebih kukuh lagi.
“Penyatuan ini bukan lagi omongan kosong dan bukan lagi sekadar cakap-cakap belakang. Tetapi ia bakal direalisasi dengan pengorbanan dan persetujuan kedua-dua pihak dalam memperkasakan agenda Ummah Melayu dan Islam.
“Ternyata suara hati Datuk Ahmad Jazlan Yaakub selaku Pengerusi UMNO yang bersedia menyerahkan kepada Pas untuk menentukan kerusi parlimen dan DUN tanpa sebarang tuntutan membuktikan bahawa UMNO Kelantan benar-benar ikhlas dan tiada agenda lain di sebaliknya.
“Malah ia disambut baik oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob. Ternyata matlamat Datuk Jazlan hanyalah ingin melihat negara kita kembali kepada pemerintahan unggul Melayu Islam dengan melaksanakan kembali dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi negara yang semakin teruk ketika ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!