Hantar ubat susulan guna khidmat 'runner'
KOTA BHARU - Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa tampil menjadi klinik pertama di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan penghantaran ubat susulan ke rumah menggunakan khidmat 'runner' atau penghantar bermotosikal.
Pegawai Farmasi Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa, Mohammad Aswady Adenan berkata, perkhidmatan yang diberi nama RxDelivery 2U itu sudah beroperasi sejak Mei lalu dan bakal dirasmikan Julai ini.
"Perkhidmatan Nilai Tambah atau Value-Added Services (VAS) ini disediakan khas kepada pesakit yang berminat dan hanya memenuhi kriteria perkhidmatan ini.
"Mereka akan didaftarkan, seterusnya membolehkan pesakit tidak perlu datang ke klinik untuk mengambil ubat susulan. Ubat susulan akan terus dihantar oleh 'runner' bermotosikal terus ke rumah pesakit," katanya kepada Sinar Harian di sini.
Menurutnya, pesakit yang bersetuju dan memilih perkhidmatan RxDelivery 2U akan didaftarkan dan diberi penerangan mengenai perkhidmatan tersebut semasa pendaftaran.
Beliau berkata, pesakit juga akan dimaklumkan oleh pihak farmasi tarikh 'runner' bermotosikal akan membuat penghantaran.
"Ini membolehkan pesakit menunggu di rumah masing-masing pada hari penghantaran. Operasi projek RxDelivery 2U tidak melibatkan penggunaan kos yang besar.
"Hanya menggunakan sumber sedia ada di klinik. Kos hanyalah melibatkan perkhidmatan 'runner' bermotosikal sebanyak RM3 hingga RM5 bagi setiap penghantaran bergantung kepada jarak rumah pesakit.
"Walaupun perlu dibayar oleh pesakit, ia lebih menjimatkan masa dan kos juga lebih murah berbanding pesakit terpaksa membayar kos tambang lain untuk ke klinik," katanya.
Aswady berkata, usaha ini dilakukan apabila pihaknya melihat warga emas yang terpaksa mengagahkan diri setiap bulan untuk datang ambil ubat di klinik tersebut.
"Bila kita tanya, mereka beritahu datang dengan teksi dan sebagainya. Selepas itu kena daftar dan tunggu ubat lagi. Setiap bulan. Kesian mereka sebab kadang-kadang anak-anak tinggal jauh. Ada yang tidak sempat menemani mereka ke klinik.
"Jadi kami sediakan perkhidmatan ini dengan, tagline 'Kawe Ata Ubat Demo', iaitu menghantar ubat terus ke pintu rumah pesakit. Tidak perlu beratur setiap bulan untuk ambil ubat. Tidak perlu bersusah payah turun naik kenderaan lain untuk dapatkan ubat susulan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!