Tak sempat lepaskan gian

Antara peralatan yang ditemui di kawasan rumah kosong berkenaan.
Antara peralatan yang ditemui di kawasan rumah kosong berkenaan.
A
A
A

KUALA NERUS - Sekumpulan remaja dipercayai penagih dadah lari bertempiaran meninggalkan peralatan menagih yang digunakan bagi mengelak ditahan di sini, petang semalam.

Kumpulan lima remaja terbabit bertindak meninggalkan lokasi dengan motosikal apabila menyedari kehadiran anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) Teluk Ketapang diketuai Ketua Skuad SRS, Zainudin Awang.

Menurut Zainudin, pihaknya mendapat aduan penduduk menerusi aplikasi WhatsApp mengenai kehadiran sekumpulan lelaki mencurigakan di kawasan rumah kosong tersebut kira kira 5.45 petang.

"Bertindak atas maklumat itu, saya bersama dua anggota SRS (KRT) Teluk Ketapang bergegas ke lokasi. Sebaik tiba di situ secara tiba tiba lima remaja itu meninggalkan lokasi dengan motosikal," katanya hari ini.

Difahamkan kawasan di sekitar rumah kosong di Jalan Ketapang 6/5 itu menjadi pilihan sebagai 'port touch n go' dalam kalangan penagih dadah kerana lokasinya agak jauh dari rumah penduduk.

Rumah kosong di Jalan Ketapang 6/5 ini menjadi pilihan sebagai 'port touch n go' dalam kalangan penagih dadah.
Rumah kosong di Jalan Ketapang 6/5 ini menjadi pilihan sebagai 'port touch n go' dalam kalangan penagih dadah.

Berikutan itu, tiga anggota SRS Teluk Ketapang terbabit membuat pemeriksaan di kawasan rumah dan menemui peralatan untuk menagih dadah seperti jarum suntikan dan sebiji pil dipercayai pil kuda.

Selain itu, turut ditemui sebuah telefon bimbit jenis Samsung, sebilah pisau, botol kosong, gunting, satu kotak rokok, sepana, pemetik api dan satu botol air jenis Coca Cola serta botol kecil berisi cecair.

Artikel Berkaitan:

Zainudin berkata, penemuan kesemua barang di kawasan rumah itu yang dipercayai milik kumpulan remaja terbabit kemudiannya dimaklumkan kepada polis bagi tindakan lanjut.

Dalam pada itu, katanya, bagi memastikan keselamatan penduduk, pihaknya akan memperhebatkan rondaan di zon ditetapkan bagi memastikan aktiviti negatif seperti itu dapat dibendung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!