Video intim: Azmin sedia bantu siasatan

Azmin bersama penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika hadir pada majlis rumah terbuka di Bukit Antarabangsa.
Azmin bersama penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika hadir pada majlis rumah terbuka di Bukit Antarabangsa.
A
A
A

AMPANG - [DIKEMASKINI] Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung isu penyebaran video lucah.

Mohamed Azmin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melakukan siasatan berhubung kes itu.

"Saya akan memberi komitmen, sokongan penuh serta kerjasama dalam membantu siasatan PDRM berhubung kes itu," katanya pada sidang media ketika menghadiri majlis rumah terbuka di Bukit Antarabangsa, di sini, semalam.

Beliau berkata, PDRM juga telah memanggil Setiausaha politiknya, Muhammad Hilman Idham untuk membantu siasatan pada Khamis lalu.

“Saya dimaklumkan keterangan Muhammad Hilman akan dirakam lagi pada Isnin ini, biar polis menjalankan tugas mereka, janganlah sesiapa ganggu siasatan PDRM,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, beliau sentiasa komited menjalankan tugasnya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

“Orang ramai telah hadir memberi sokongan kepada saya berkenaan isu ini, saya mengucapkan terima kasih atas sokongan mereka,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan beberapa klip video tular aksi seksual dua lelaki, seorang daripadanya didakwa kelihatan menyerupai menteri.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, satu video dimuat naik Haziq Abdullah Abdul Aziz, 27, dipercayai membuat pengakuan dirinya terlibat dalam video seks sejenis membabitkan menteri berkenaan.

Haziq memuat naik video berdurasi 30 saat itu dalam akaun Facebooknya itu turut menamakan seorang menteri yang juga pemimpin kanan sebuah parti kerajaan terlibat dalam hubungan seks dengannya.

Menurutnya, perlakuan seks itu dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di Hotel Four Points di Sandakan, Sabah ketika pilihan raya kecil Parlimen Sandakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!