KAMPUNG GAJAH - Polis menahan seorang pekebun yang disyaki telah menodai seorang wanita yang mengalami tekanan jiwa dalam kejadian di Kampung Sungai Besar Mukim Kota Setia, Seberang Perak di sini, semalam. Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, kejadian itu terbongkar selepas mangsa yang berusia 24 tahun menceritakan sendiri kejadian itu kepada abang tirinya sebelum laporan dibuat di Balai Polis Rungkup, Selekoh. Menurutnya, suspek berusia 55 tahun itu merupakan pak cik tirinya yang telah menumpang di rumah keluarga mangsa di Sungai Sumun sejak empat bulan lalu. "Siasatan awal mendapati mangsa telah dirogol sebanyak dua kali oleh suspek pada awal Mei lalu dan kelmarin di lokasi yang sama iaitu di rumah saudara mangsa di Seberang Perak. "Mangsa telah diugut suspek, tidak akan dibawa bertemu dengan anak-anaknya yang tinggal bersama bekas suami di Selekoh jika tidak menunaikan permintaan suspek. Mangsa terpaksa bersetuju untuk melakukan perbuatan itu demi menjaga keselamatan diri," katanya. Mohamad Zainal berkata, siasatan mendapati mangsa menghidap penyakit skizofrenia iaitu sejenis penyakit kecelaruan otak yang dihidapinya sejak usia 16 tahun. "Mangsa masih dalam rawatan dengan terpaksa mengambil ubat penenang setiap hari. “Susulan itu, mangsa telah dibawa ke Hospital Seri Manjung bagi mendapatkan pemeriksaan doktor pakar,” katanya. Katanya, suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merogol.