Kerjasama Pas-UMNO satu tragedi, bukan PH

Mahfuz (tujuh dari kanan) ketika meraikan tetamu yang hadir pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri.
Mahfuz (tujuh dari kanan) ketika meraikan tetamu yang hadir pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri.
A
A
A

ALOR SETAR - Amanah menyangkal dakwaan Pas bahawa kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 adalah satu tragedi menyedihkan buat umat Islam, sebaliknya menyifatkan kerjasama Pas-UMNO sebagai tragedi.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, huraian tragedi itu terlalu sempit sekiranya hanya merujuk kepada kegagalan kerajaan melaksanakan beberapa janji manifesto lalu.

Menurutnya, sepatutnya Pas yang harus melihat menjalin kerjasama dengan UMNO merupakan tragedi memandangkan sebelum ini parti itu tidak membela nasib kerajaan Kelantan dan Terengganu.

“Pemimpin Pas yang harus berfikir secara lebih matang dalam menzahirkan slogan parti itu, Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), bukan gunakan sentimen pengaruhi rakyat atas kekurangan Pas-UMNO, yang kini ahlinya mulai kurang berpuas hati atas kerjasama itu kerana ia bukan untuk selamatkan negara, sebaliknya selamatkan parti yang ditolak rakyat,” katanya, ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Menteri Sumber Manusia bersama Amanah Kedah, di sini, hari ini.

Mahfuz berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd Salleh yang menyifatkan kemenangan PH pada PRU14 adalah tragedi menyedihkan buat umat Islam kerana kerajaan PH tidak menampakkan kesungguhan menepati janji dan tawaran.

Nuridah turut mendakwa pimpinan PH tidak bersatu hati mempertahankan kedudukan Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mahfuz sebaliknya menempelak Nuridah yang gagal melihat kebaikan dibawa kerajaan PH terhadap kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang, terutama di Kelantan dan Terengganu.

“Beliau langsung tidak melihat bagaimana kita janjikan sesuatu kepada kerajaan Kelantan dan Terengganu dalam isu royalti. Ia kini dalam proses, ini yang sepatutnya Pas akui bahawa rakan seperjuangan mereka, iaitu UMNO gagal penuhi tuntutan itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tidak mustahil sekiranya UMNO kembali meragut hak negeri pantai timur itu sekiranya kembali berkuasa.

“Kerjasama dengan UMNOlah satu tragedi, mereka akan kembalikan semangat lama dan royalti mungkin ditarik balik jika kembali perintah negara. Malah kegagalan Kelantan dan Trengganu melaksanakan apa dijanjikan juga harus diambil kira,” katanya.

Mengulas dakwaan fahaman serong liberalisme mula dinormalisasikan dalam kehidupan masyarakat Malaysia selepas PH mentadbir, Mahfuz secara sinis membidas Pas agar tidak berfikiran sempit.

“Istilah liberal tidak boleh disempitkan, harus ada liberal dan kita tak boleh terlalu jumud dalam hubungan antara parti lain. Saya Amanah, namun ada sikap liberal dalam kes tertentu, ia bukan satu kesalahan,” katanya.

Mahfuz turut mempersoal sikap segelintir ahli Pas yang enggan menerima sumbangan Ramadan daripada DAP semata-mata ia pemberian parti bukan Islam.

“Dalam kawasan saya di Pokok Sena, ada surau tak mahu terima bantuan DAP, dalam isu ini, siapa lebih liberal?” soalnya.

Menurutnya, Amanah membawa misi membina negara berasaskan semangat kekeluargaan dan kasih sayang dengan ketepikan kebencian yang penyebab berlaku porak peranda dalam negara.

“Kita meletakkan konsep 'rahmatan lil alamin' merentasi kaum dalam membina negara, bukan seperti Pas-UMNO yang menjurus kepada kepentingan politik,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!