Keluarga batin pembawa penyakit misteri?
GUA MUSANG - Biarpun majoriti daripada mereka beragama Islam, namun suku kaum ini masih berpegang kuat kepada adat suku kaum mereka.
Difahamkan, kematian misteri yang menghantui penduduk orang asli suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh, bermula dengan keluarga batin, Hamdan Keladi.
Menurut anak batin, Lan Hamdan, 20, kematian misteri ini bermula dengan keluarganya selepas bapa meninggal dunia selepas jatuh sakit lebih dua minggu.
"Bapa dan abang, Romi Hamdan, 29, diuruskan dengan cara Islam. Kami mempunyai tujuh beradik dan tiga telah meninggal dunia.
"Selepas bapa dan abang meninggal dunia, kami meninggalkan tempat tinggal dan mula berjalan ke dalam hutan. Kemudian, kakak, Laila Hamdan, 20 meninggal dunia dan diikuti adik saya, Din Hamdan, 19.
"Mereka berdua diuruskan dengan cara adat iaitu kami membuat para di atas pokok di lain-lain kawasan. Sebelum ditinggalkan, kami memagarnya dengan jampi mentera dahulu bagi mengelakkan gangguan binatang buas," katanya.
Tambah Lan, kini dia hanya tinggal empat beradik termasuk Asiah dan Kimi Hamdan serta ibunya, Som Yai.
Menurut Som, dia mengalami trauma sehingga kini apabila suami dan tiga anaknya meninggal dunia seorang demi seorang dalam tempoh sebulan.
"Mereka meninggal dunia di depan mata saya. Memang saya takut kerana mereka mengadu sakit kepala, sakit dada dan muntah darah sebelum mati.
"Saya tidak tahu apa punca penyakit, tetapi ia bukan penyakit keturunan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kuala Koh Diisytihar sebagai zon merah
ARTIKEL BERKAITAN: Jampi mentera juga tidak mampu selamatkan Orang Asli Kuala Koh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!