Tujuh pekerja di India maut ketika bersihkan tangki septik
GUJARAT - Seramai tujuh orang dilaporkan maut akibat sesak nafas ketika membersihkan tangki septik tanpa sebarang alat perlindungan di sebuah hotel di barat India.
Menurut polis, pemilik hotel terbabit didakwa menyebabkan kematian akibat kecuaian ekoran insiden yang berlaku di daerah Vadodara, negeri Gujarat malam semalam.
Difahamkan, empat mangsa yang maut dipanggil untuk membersihkan tangki setik sementara tiga yang lain merupakan pekerja hotel berkenaan.
"Seorang pekerja yang memasuki tangki terbabit tidak menjawab ketika dipanggil menyebabkan tiga yang lain memasuki tangki untuk membantunya," kata pegawai bomba Vadodara Nikunj Azad yang mengetuai operasi menyelamat.
Azad menambah, apabila keempat-empat pekerja tidak muncul, tiga pekerja hotel berkenaan mengambil keputusan memasuki tangki namun malangnya kesemua mereka maut.
Kebanyakan penduduk India terutama daripada kasta rendah bekerja sebagai pencuci yang membersihkan paip bawah tanah dan tangki septik tanpa sebarang alat perlindungan seperti topeng muka dan kematian akibat sesak nafas di saluran pembentungan kerap kali terjadi di negara itu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!