Kerajaan masih tunggu kelulusan kuota tambahan haji
PARIT BUNTAR - Kerajaan masih menunggu keputusan permohonan tambahan 10,000 kuota haji daripada kerajaan Arab Saudi sehingga kini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, sehingga kini usaha permohonan dikemukakan kerajaan berada di peringkat teratas di mana keputusan akhir kelulusan kuota tambahan haji adalah atas budi bicara Raja Arab Saudi, Raja Salman sendiri.
Menurutnya, pihaknya sudah mengadakan dua kali pertemuan dengan Menteri Wakaf Arab Saudi dan mengingatkan beliau mengenai permohonan tambahan kuota haji dikemukakan kerajaan Malaysia sebelum ini.
"Beliau (Menteri Wakaf) memberi jawapan akan melihat perkara itu dan pihaknya masih mencari ruang pemberian kuota haji, bergantung kepada budi bicara Raja Salman.
"Saya memohon rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan permohonan itu diperkenankan Raja Salman bagi membolehkan lebih ramai rakyat negara ini dapat menunaikan haji tahun ini," katanya kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Parit Buntar di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi, Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim dan Exco Kemudahan Awam, Infrastrutruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari.
Di sebalik itu, Mujahid meminta semua pihak tidak mempolitikkan isu permohonan tambahan kuota haji oleh kerajaan PH ketika ini dengan pelbagai dakwaan tidak berasas.
Menurutnya, pemberian tambahan 10,000 kuota haji bukan sesuatu yang Raja Salman wajib bagi dan tiada ikatan untuk baginda meluluskannya kerana kuota itu tidak termasuk kuota haji ditetapkan kepada negara Malaysia.
"Ianya juga bukan masalah kelemahan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) atau masalah hubungan diplomatik kerajaan sekarang dengan kerajaan Arab Saudi kerana tambahan kuota haji turut tidak diluluskan pada pentadbiran kerajaan terdahulu pada tahun 2016 dan 2017.
"Kerajaan Malaysia turut berharap permohonan tambahan kuota haji diluluskan segera baginda Raja Salman.
"Ini kerana kita bimbang sekiranya kelulusan diberikan pada saat akhir, kerajaan melalui Tabung Haji akan berdepan masalah untuk menyediakan logistik dan penginapan kepada bakal jemaah haji kelak," katanya.
Sementara itu, lebih 5,000 pengunjung hadir memeriahkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Parit Buntar yang diadakan di Dataran Kerian Permai, di sini pada hari ini bermula jam 2 petang hingga 5 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!