Raha wanita pertama dilantik Naib Canselor UTeM
PUTRAJAYA - Pengarah Bahagian Perancangan Kecemerlangan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof Dr Raha Abdul Rahim dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang baharu berkuat, esok.
Beliau menggantikan Datuk Prof Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin yang memegang jawatan itu sejak 16 Jun 2014.
Pelantikan untuk tempoh sehingga 15 Jun 2022 itu menjadikan anak kelahiran Johor itu sebagai wanita pertama dilantik menerajui UTem.
Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata pelantikan itu adalah berdasarkan kepada kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan pencapaian beliau semasa memegang jawatan sebagai Pengarah Bahagian Kecemerlangan IPTA serta jawatan-jawatan sebelumnya sama ada di peringkaat nasional mahupun antarabangsa.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Mikrobiologi dari Oklahoma State University, Amerika Syraikat yang kemudiannya memperoleh Ijazah Kedoktoran dari Strathclyde University, United Kingdom itu juga berpengalaman dari segi pentadbiran peringkat kementerian dan universiti, antaranya Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pengajian Siswazah Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM.
Beliau juga merupakan anggota American Society for Microbiology dan Ketua Setiausaha Asian Federation of Societies for Lactic Acid Bacteria dan telah menghasilkan lebih 130 jurnal akademik.
Dengan pengalaman tersebut, KPM percaya beliau mampu memacu kecemerlangan UTeM ke tahap lebih tinggi daslam mencapai visi dan misi sebagai universiti teknikal ternama, kata kenyataan itu.
KPM turut merakamkan penghargaan kepada Shahrin atas khidmat bakti dan kempimpinan yang dicurahkan sepanjang memegang jawatan tersebut.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!