Jalan di Padang Kota ditutup sementara
GEORGE TOWN- Sebahagian jalan di Padang Kota di sini akan ditutup bermula pukul 12 tengah malam ini hingga 4 pagi esok bagi kerja-kerja pengukuhan dan penambahbaikan tembok laut di Padang Kota Lama, Esplanade di sini.
Menurut kenyataan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) penutupan sementara jalan itu membabitkan Jalan Tun Syed Sheh Barakbah di antara Jalan Padang Kota Lama dan Persimpangan Bulatan Lebuh Light/Pesara King Edward/Lebuh Pantai.
"Penutupan sementara itu adalah untuk menjalankan kerja-kerja pengukuhan dan penambahbaikan tembok laut di Padang Kota Lama bagi fasa pertama pembinaan untuk membolehkan bahan-bahan binaan dibawa ke tapak pembinaan dengan selamat," katanya di sini hari ini.
Beliau menasihati orang ramai supaya merancang perjalanan dan mematuhi papan tanda yang diletak di beberapa lokasi lencongan kawasan jalan yang ditutup bagi mengelak kesesakan.- Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!