Lukisan rama-rama terapi pesakit kanser tiroid
KUANTAN - Seni lukis kreatif berlatar belakangkan rama-rama antara karya yang memerlukan kreativiti yang tinggi untuk dihasilkan, sekali gus karya itu mampu memberi terapi diri untuk nilai kehidupan lebih tenang.
Justeru, pelukis, Ahmad Nazrin Mohamed Noor, 52 memilih bidang itu yang hasil karya berdasarkan rama-rama yang bertemakan Mencari Dia menjadi terapi beliau menenangkan minda, selain mampu menjana pendapatan menguntungkan.
Beliau yang merupakan pesakit kanser tirod berkata, melukis mampu menghilangkan kekusutan fikiran terhadap penyakitnya, menjadi terapi sepanjang melengkapkannya sebagai karya sempurna.
"Pameran solo saya kali ini bertemakan Mencari Dia yang bermaksud Mendekatkan diri dengan ALLAH dan lukisan yang saya hasilkan menggunakan teknik simbah," katanya.
Menurutnya, dia komited menghasilkan lukisan yang memerlukan ketelitian, sentuhan supaya tampak hidup dan mempunyai daya tarikan tersendiri.
"Saya amat meminati rama-rama sejak dari kecil. Rama-rama ini sifatnya seperti manusia, dia cantik, bebas namun mudah berkecai yang memerlukan kita berhati-hati dan itulah prinsip yang saya bawa dalam lukisan saya selama ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pameran Solo 6 Mencari Dia di Restoran Seri Hijrah di sini hari ini
Sebanyak 9 lukisan karya Ahmad Nazein dipamerkan menerusi pameran solonya yang telah masuk kali keenam sejak tahun 2016.
Anak kelahiran Dungun, Terengganu yang berkelulusan Diploma Pendidikan Seni dari Institut Teknologi Mara (ITM) mengakui Restoran Seri Hijrah kerana mempunyai pelanggan dari golongan profesional yang kebanyakan mereka meminati lukisan.
"Restoran ini cukup popular dan terkenal dengan masakan Pahang asli yang dimasak oleh orang Pahang sendiri di samping keunikan kedainya yang sesuai untuk pameran saya kali ini.
"Pameran ini diharap dapat memupuk manusia bukan sahaja mendekatkan diri dan menjaga hubungan dengan ALLAH malah sesama manusia juga," katanya.
Pameran Solo 6 Mencari Dia Ahmad Nazrin diadakan bermula hari ini sehingga 15 Julai yang bermula dari jam 8 pagi sehingga 5 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!