Hukum beri sedekah untuk majlis tahlil

No Image Caption
A
A
A

PENGANJURAN majlis tahlil atau kenduri arwah begitu sinonim dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini apabila berlakunya kematian dalam keluarga mereka.

Amalan itu merupakan gabungan antara bacaan ayat dan surah daripada al-Quran, zikir kepada ALLAH SWT yang merangkumi tasbih, tahmid, takbir dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta memberi makan kepada orang ramai.

Selain mengajak orang ramai khususnya sanak saudara dan jiran tetangga untuk membaca al-Quran, bertasbih, bertahmid dan memberi makan, amalan itu juga dilihat sebagai salah satu cara untuk sesetengah ahli keluarga mengubat kesedihan atas pemergian ahli keluarga mereka itu.

Malah, situasi lain yang dapat kita lihat setiap kali majlis tahlil atau kenduri arwah adalah tetamu yang datang akan menghulurkan sumbangan kepada ahli keluarga dengan harapan dapat meringankan beban keluarga.

Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan mungkin ada dalam kalangan umat Islam yang masih tertanya-tanya mengenai hukum memberi sumbangan untuk majlis tahlil arwah.

Bagi menjawab persoalan itu, laman Facebook rasmi Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Al-Kafi # 1288: Hukum Memberi Sumbangan Untuk Majlis Tahlil Arwah menjelaskan, amalan memberikan sumbangan untuk majlis tahlil dengan harga tertentu bagi nama-nama arwah adalah harus dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, antara garis panduan itu adalah tidak menetapkan harga tertentu untuk nama-nama arwah, sumbangan atau sedekah harus digunakan untuk program bermanfaat, mengelakkan sangkaan bahawa sumbangan tersebut seolah-olah merupakan akad jual beli antara penyumbang dan penganjur serta tidak meyakini dan mempercayai bahawa dengan pemberian yang diberikan, maka pahala akan secara pasti sampai kepada arwah-arwah yang diniatkan tersebut.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Katanya lagi, harus dipastikan juga majlis tahlil yang dilaksanakan tersebut tidak mengandungi perkara-perkara yang menyalahi syariat Islam.

“Amalan tahlil merupakan gabungan antara bacaan ayat dan surah daripada al-Quran, zikir kepada ALLAH SWT yang merangkumi tasbih, tahmid, takbir dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta memberi makan kepada orang ramai.

“Semua perkara tersebut merupakan amalan yang disyariatkan di dalam Islam.

“Semoga ALLAH SWT sentiasa memberi taufiq dan hidayah kepada kita untuk terus melaksanakan amal soleh dan ketaatan kepada-Nya. Amin,”katanya menerusi catatan yang dimuat naik di Facebook rasmi Mufti Wilayah Persekutuan itu.

Semoga pencerahan yang diberikan ini dapat memberi kefahaman yang lebih jelas kepada umat Islam yang masih lagi tertanya-tanya mengenai hukum dengan amalan yang begitu dekat bagi umat Islam di negara ini.1. Adakah salah seseorang Islam menonton televisyen yang mempamerkan wanita mendedahkan auratnya walaupun setakat rambut?

Jawapan:

Melihat aurat wanita ataupun lelaki baik di alam lahir ataupun di kaca televisyen hukumnya berdosa. Tambahan pula perkara tersebut adalah sesuatu yang melalaikan kita daripada mengingati ALLAH SWT.

2. Adakah sah nikah wanita yang hendak dinikahi itu dalam keadaan haid?

Jawapan:

Sah nikahnya walaupun wanita tersebut dalam keadaan haid pada hari dia dinikahkan kerana suci daripada haid tidak termasuk dalam syarat sah nikah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!