Tulisan khat Sulaiman abadi di wang kertas negara
KUALA LUMPUR - Wang adalah perkara penting dalam kehidupan seharian. Tetapi pernahkah anda meneliti setiap not yang ada dalam dompet ketika ini?
Pasti ramai yang lebih menumpukan perhatian kepada angka pada setiap helaian wang yang menunjukkan nilainya dalam ringgit. Namun, wang kertas yang anda pegang itu sebenarnya mempunyai nilai yang lebih besar di sebaliknya.
Jika anda perasan, di setiap wang kertas itu ada tertulis perkataan ‘Bank Negara Malaysia’ dan ‘Ringgit Malaysia’ dalam tulisan Jawi. Walaupun tulisan khat itu kecil saja, tetapi ia membawa 1,000 makna kepada penulis khat, Sulaiman Awang, 78.
Ini kerana di atas wang kertas itulah terabadinya tulisan khat hasil tangan beliau dan apa yang lebih membanggakan ia disimpan semua rakyat Malaysia.
Mengimbau kembali detik bersejarah itu, Sulaiman berkata, beliau didatangi seorang lelaki pada 1997 yang memintanya menulis Bank Negara dalam tulisan Jawi di atas sekeping kertas.
“Lelaki yang bernama Haji Muhamad itu kemudian menghantar tulisan saya ke Bank Negara Malaysia (BNM). Tidak lama selepas itu saya dimaklumkan mereka menerima tulisan saya untuk diabadikan pada wang kertas negara ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya di Setiawangsa di sini baru-baru ini.
Menurut Sulaiman, ketika itu perasaannya bercampur-baur antara tidak percaya dan gembira apabila melihat tulisannya pada wang kertas dari nilai RM2 hingga RM1,000. “Saya tulis sekali saja dan tulisan saya terus diterima. Sudah tentu saya gembira dan rasa amat dihargai,” katanya.
Sebagai penghargaan, katanya, beliau menerima koleksi istimewa wang bercantum not RM2 dan RM10 daripada BNM.
Tulisan hiasi buku, masjid
Berkongsi serba sedikit latar belakangnya, Sulaiman berkata, beliau mula mempelajari seni tulisan khat ketika belajar di sebuah sekolah agama di Bagan Serai, Perak.
“Pada 1962, saya berhijrah ke Kuala Lumpur dan bekerja di Utusan Melayu. Ketika itu, saya menulis tulisan Jawi untuk tajuk berita di akhbar itu,” katanya.
Selepas itu, katanya, beliau bertugas pula di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dari tahun 1970 hingga 1996.
“Saya banyak menulis khat untuk buku sekolah yang dikeluarkan DBP. Selain menulis khat, saya juga pelukis komik,” katanya.
Di usia emasnya kini, Sulaiman tidak mensia-siakan bakat yang dimiliki dan masih mendapat permintaan menulis khat.
Antaranya, tulisan khat Sulaiman boleh dilihat pada papan tanda dan kepala surat Masjid Muadz bin Jabal di Setiawangsa.
Bakat Sulaiman turut diwarisi anaknya yang juga dramatis terkenal, Intan Azura sehingga memenangi pertandingan khat ketika di sekolah, namun sayangnya ia tidak dikembangkan.
Seni khat perlu ketekunan
Bercerita mengenai seni tulisan khat, bapa kepada empat orang anak itu berkata, bidang itu memerlukan ketekunan tinggi.
“Tulisan khat ini ada pelbagai jenis. Misalnya, tulisan yang saya tulis pada wang kertas ialah jenis thulus dan nasakh.
“Dua jenis tulisan ini ada perbezaan seperti ketinggian dan besar huruf. Sebab itu, kalau nak mahir kena beri tumpuan betul-betul. Saya pun taklah pakar sangat sebab ramai lagi yang pakar,” katanya merendah diri.
Sebagai orang lama, beliau amat berharap industri khat dan tulisan Jawi dipromosikan ke tahap lebih tinggi dengan penglibatan lebih ramai orang muda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!