Menteri wajib baiki komunikasi

A
A
A

AKIBAT penyebaran melalui media sosial satu siri rakaman video adegan seks melibatkan dua lelaki – didakwa kedua-duanya orang politik – maka banyaklah ulasan dan pendapat mengenai politik tanah air kita dengar.

Saya setuju dengan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, bahawa ini contoh dan cerminan politik longkang (gutter politics) yang melanda negara kita yang sesetengah orang uar-uarkan sebagai negara bertuankan Melayu dan berkiblatkan Islam.

Namun begitu, tidak kira sejijik mana pun kita dengan politik longkang ini, ia terpaksa disiasat kerana mengandungi beberapa unsur jenayah seperti penyebaran bahan lucah melalui internet, tuduhan rasuah dan kegiatan seks luar tabii.

Saya tidak berhasrat mengulas lanjut hal ini. Memadailah kalau saya katakan yang pengalaman saya dengan peristiwa serupa pada 1997-1998 telah mengajar saya menjadi lebih dewasa dan rasional.

Berbalik kepada perkara pokok mengenai pentadbiran negara, beberapa hari sebelum akhir Ramadan, saya telah bangkitkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pemerhatian saya berkenaan sikap sesetengah anggota Kabinet.

Saya kata, pengalaman peribadi saya dengan sesetengah anggota mereka memberi gambaran bahawa ada yang tidak berapa berminat, keberatan atau tidak yakin berdepan khalayak ramai.

Saya berikan beberapa contoh dan reaksi beliau meyakinkan saya bahawa beliau faham apa dan menteri mana yang saya maksudkan.

Pada permulaan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) 13 bulan lalu, kita bolehlah bagi macam-macam alasan dan mengharapkan Perdana Menteri melatih dan menasihati anggota Kabinet walaupun pada realitinya tidaklah semudah itu.

Artikel Berkaitan:

Kita berdepan satu kedudukan kompleks dan rumit kerana melibatkan perwatakan dan pertimbangan politik.

Ada menteri yang tinggi tahap keyakinan diri dan ada yang rendah. Ada yang ramah dan selesa dengan khalayak tetapi ada yang suka menyendiri.

Ada yang rajin membaca dan kuat bekerja dan ada yang malas membaca dan tidak berapa kuat bekerja. Yang terlebih berlagak pun ada.

Kemudian saya perhatikan ada yang pertimbangan politik peribadi mengatasi tugas dan tanggungjawab menteri.

Dan akhir sekali ada yang seolah-olah dihantui sesuatu sehingga takut atau teragak-agak untuk menampilkan potensinya yang sebenar.

Kita selalu kata, belajarlah daripada Perdana Menteri dan contohilah cara beliau. Satu dunia takjub dan teruja dengan cara beliau tapi nampaknya masih ada menteri yang tidak mampu mencontohi beliau.

Mungkin mereka tidak boleh atau tidak mampu mencontohi beliau daripada aspek pemikiran, keintelektualan, perancangan dan tindakan tetapi mereka sekurang-kurangnya boleh mencontohi kegemaran beliau membaca dan menulis serta kelicinan beliau berinteraksi dengan khalayak, khususnya rakyat jelata dan media massa.

Menteri hilang

Saya pun hairan jugalah melihat menteri yang masa jadi pembangkang amat lantang, lancar dan karismatik tapi tiba-tiba macam kaku dan hilang cahaya apabila jadi menteri, menteri besar dan ketua menteri.

Saya dengar ada juga bagi alasan sebagai menteri mereka tidak perlu banyak bercakap sebab buktinya adalah prestasi.

Tetapi kalau mereka tidak bercakap, berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang ramai, macam mana masyarakat hendak tahu apa yang mereka buat atau apa yang kerajaan sumbangkan untuk rakyat jelata?

Dalam seminggu dua raya ini, banyak orang bertanya saya mana menteri kita?

Ini memberi gambaran seolah-olah wajah mereka tidak kelihatan dan suara mereka tidak kedengaran. Kalau dengar pun mengenai sesuatu yang sensasi atau bertelagah sesama sendiri.

Saya faham sentimen rakyat jelata kerana saya pun berasa masa mereka juga.

Misalnya di mana menteri kita apabila Perdana Menteri bercakap tentang hukum undang-undang, kedudukan Raja Berperlembagaan, masalah kerajaan dengan sesetengah istana dan banyak lagi isu penting berkaitan perkongsian kuasa?

Sebagai orang tua dalam dunia komunikasi – hari ini, 16 Jun genap 50 tahun jadi wartawan. Saya boleh katakan secara sahih PH akan menghadapi masalah besar untuk kekal dan memperkukuhkan sokongan rakyat jelata jika menteri, menteri besar dan ketua menteri tidak mempertingkatkan prestasi dan gagal berkomunikasi dengan rakyat jelata.

Wallahuaklam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!