Impian ke Sukan Olimpik berkecai

Skuad Hoki Wanita Negara terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas tewas 3-0 ke atas Korea Selatan pada separuh akhir Pusingan Akhir Siri FIH di Ireland, pada Sabtu malam. - FOTO @irishhockey/Twitter
Skuad Hoki Wanita Negara terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas tewas 3-0 ke atas Korea Selatan pada separuh akhir Pusingan Akhir Siri FIH di Ireland, pada Sabtu malam. - FOTO @irishhockey/Twitter
A
A
A

SKUAD hoki wanita negara sekali lagi terpaksa menunggu empat tahun lagi untuk muncul di pentas Sukan Olimpik buat pertama kali apabila peluang ke temasya edisi 2020 di Tokyo tertutup selepas tewas 3-0 kepada Korea Selatan pada separuh akhir Pusingan Akhir Siri FIH di Ireland, malam tadi.

Kekalahan yang sudah diduga itu menyebabkan skuad bimbingan Muhamad Dharma Raj Abdullah gagal meraih dua slot untuk layak ke pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik 2020 Tokyo pada Oktober dan November ini.

Susulan kekalahan itu, skuad Malaysian Tigress akan bertemu dengan Republik Czech pada perlawanan penentuan tempat ketiga manakala tuan rumah Ireland akan menentang Korea Selatan di pentas final, esok.

Sebelum itu, Ireland mengalahkan Republik Czech 4-0 pada satu lagi saingan separuh akhir.

Dalam pada itu, Korea Selatan, yang memiliki ranking ke-11 dunia, memulakan jaringan pada minit ke-12 menerusi gol padang Cho Hyein diikuti Kim Hyunji pada minit ke-17 sebelum Cheon Eunbi menutup tirai jaringan menerusi gol padang pada minit ke-48.

Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah layak ke Sukan Olimpik sejak acara hoki wanita diperkenalkan pada edisi 1980 di Moscow. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!