Dua wanita antara kantoi main judi haram
KEPALA BATAS - Polis menahan lima orang termasuk dua wanita selepas dipercayai terlibat dengan judi loteri awam haram dan judi online (tambah nilai) tanpa lesen semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua suspek ditahan dalam Ops Dadu Khas yang dijalankan sepasukan polis yang bermula pada jam 1 tengahari hingga 7.30 petang.
Menurutnya, serbuan dibuat di beberapa buah premis di daerah SPU dan berjaya menahan lima suspek yang berusia lingkungan 31 hingga 48 tahun.
"Bertindak di atas maklumat yang kita terima, satu operasi dijalankan oleh 25 anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah D7, Balai Polis Butterworth dan Kepala Batas serta Ibu Pejabat Polis Daerah SPU. Kita turut mendapat bantuan dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.
"Kita berjaya menahan lima orang di premis yang berbeza iaitu di kawasan Butterworth, Kepala Batas dan Telok Ayer Tawar," katanya dalam satu kenyataan media tadi.
Noorzainy berkata, polis merampas enam buah telefon bimbit pelbagai jenama yang mana, dua daripadanya memaparkan website (tambah nilai judi online) di skrin telefon disyaki judi online.
"Di telefon bimbit itu juga kita dapati ada nombor telefon pelanggan yang membuat bayaran untuk pertaruhan judi online. Selain itu, kita turut merampas tiga buah mesin cetak mudah alih dan slip yang mengandungi catatan dan angka-angka.
"Kita juga merampas empat keping kertas putih bercetak angka-angka, peralatan menulis, sebuah kalkulator dan sejumlah wanh tunai. Kesemua barang rampasan akan dihantar ke pakar judi yang dilantik untuk tujuan analisa," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) dan 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan kes masih dalam siasatan untuk tindakan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!