'Syed Saddiq patut dengar keseluruhan ucapan Hadi'

Syed Saddiq - FOTO ASRIL ASWANDI
Syed Saddiq - FOTO ASRIL ASWANDI
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menyifatkan kenyataan Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa tarbiah Islam Pas telah gagal adalah jauh tersasar dan tidak matang.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, kenyataan Syed Saddiq yang merujuk kepada ucapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Muslimat Pas itu juga dilihat terburu-buru tanpa memahami secara jelas maksud sebenar ucapan tersebut.

“Pemuda Ikatan menggesa Ketua Pemuda PH (Syed Saddiq) supaya meluangkan masa untuk mendengar teks ucapan Tuan Guru Presiden Pas (Abdul Hadi) secara keseluruhan, atau setidak-tidaknya Setiausaha Akhbar Menteri membuat “homework” sebelum membuat ulasan yang dangkal sebegini.

ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq dakwa Pas gagal tarbiyah, tapi salahkan teknologi

"Sebagai contoh, ucapan Tuan Guru Presiden Pas dimulakan dengan sejarah Islam memimpin dunia selama berdekad-dekad, di mana golongan yang bukan Islam mengkaji dan mendalami Islam sebenar untuk menerima Islam.

“Islam memerintah bukan secara paksaan, tetapi rakyat bukan Islam mengkaji Islam sehingga golongan intelektual bukan Islam menerima Islam apabila melihat kebaikan Islam itu sendiri dalam konteks kehidupan, terutama pentadbiran yang adil dan saksama kepada rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, mengambil contoh tersebut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menggesa anak-anak muda supaya mendalami isu-isu politik secara keseluruhan, bukannya terikut-ikut dengan sebaran media sosial yang kebenarannya kadang-kadang diragui.

Terdahulu, Syed Saddiq dilaporkan berkata, kenyataan Abdul Hadi seolah-olah menyalahkan golongan muda disebabkan kemenangan PH semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) membuktikan kegagalan tarbiah yang dibawa parti itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Saddiq lagi, hujah Abdul Hadi yang mengatakan golongan muda yang mengundi PH sebagai ‘tidak mengaji agama’ tetapi ‘mengaji dengan telefon bimbit dan media sosial’ itu disifatkan telah menghina kebijaksanaan anak-anak muda.

Sementara itu, menurut laporan Malaysiakini, Abdul Hadi mengatakan "30 peratus pengundi muda (mengundi PH) yang berumur 21 tahun yang tak mengaji kitab, (tidak) mengaji agama, (tapi) mengaji dengan telefon bimbit, mengaji dengan Facebook, mengaji dengan WhatsApp ketika berucap pada Muktamar Dewan Muslimat Pas di Kuantan, Pahang semalam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!