Lima nelayan Indonesia ditahan
LUMUT - Lima nelayan Indonesia ditahan selepas dikesan melakukan kegiatan penangkapan ikan di perairan negara ini iaitu 29 batu nautika barat laut dari Pulau Jarak, semalam.
Tangkapan sekitar jam 1.30 petang itu dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak yang sedang melakukan rondaan dan penguatkuasaan di kawasan itu.
Pengarah APMM negeri, Kepten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, kesemua tekong dan awak-awak berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun itu dibawa ke Pusat Tahanan Vesel untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, ini merupakan kali ketiga bot nelayan tradisional Indonesia dikesan memasuki perairan Malaysia sepanjang minggu ini.
“Walaupun sering ditegaskan bahawa pasukan kita akan menahan mana-mana vesel penangkapan ikan asing yang menceroboh dan menjalankan aktiviti penangkapan dalam perairan Malaysia, masih terdapat nelayan Indonesia yang tidak mengendahkannya,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan melakukan penangkapan ikan secara haram di dalam perairan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!