Operasi roboh kebun haram

Sebahagian besar ahli Kosma yang hadir mesyuarat agung di Dewan Jubli Perak di Kuantan sini hari ini. Gambar kecil: Nazri
Sebahagian besar ahli Kosma yang hadir mesyuarat agung di Dewan Jubli Perak di Kuantan sini hari ini. Gambar kecil: Nazri
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan melaksanakan operasi penguatkuasaan besar-besaran tanah yang diusahakan secara haram di negeri ini, tahun ini.

Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, ini termasuklah mengusir dan meroboh kebun haram di kawasan Felda dan perkampungan tradisional.

Menurutnya, penguatkuasaan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat dengan mendahulukan perobohan di lokasi skala besar yang merosakkan ekosistem dan alam sekitar.

"Baru-baru ini kerajaan melaksanakan operasi besar-besaran di kebun haram Cameron Highlands. Susulan daripada itu, kerajaan negeri bersama Jabatan Hutan dan disokong oleh kerajaan Pusat, akan melaksanakan operasi tersebut di seluruh Pahang, secara berperingkat.

"Kerajaan negeri juga telah membeli mesin-mesin dan jentera melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang untuk menjalankan operasi itu. Sebelum ini kita sewa. Memandangkan operasi ini akan dibuat besar-besaran, jadi untuk kurangkan kos, kita beli jentera sendiri," katanya.

Menurutnya, usaha kerajaan negeri dan kerajaan Pusat dalam melaksanakan operasi bersepadu ini akan berterusan dari semasa ke semasa kerana penerokaan tanah haram amat merugikan kerajaan negeri dari segi hasil dan pendapatan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) 2019 di Dewan Jubli Perak di sini semalam.

ADUN Pulau Tawar yang juga Pengerusi Pembangunan Koperasi itu merupakan ahli Kosma yang turut dilantik mewakili Kerajaan Pahang sebagai pemerhati mesyuarat agung.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, dalam ucaptama Pengerusi Kosma, Datuk Mokhtar Mat Salleh berkata, Kosma telah memohon peruntukan tanah seluas 500 ekar di Sungai Jerik Maran untuk diusahakan.

Diminta mengulas perkara itu, Nazri berkata, tanah-tanah tersebut kebanyakannya telah diusahakan secara haram dengan kewujudan kebun kebun kelapa sawit dan durian.

"Tanah-tanah itu terletak di bawah DUN Kuala Sentul dan sempadan dengan Pulau Tawar. Saya tahu mengenainya dan tindakan mengenai permohonan itu sedang diuruskan.

"Kerajaan negeri, Kosma dan peneroka-peneroka di situ mungkin akan berbincang untuk mewujudkan mekanisme yang memanfaatkan semua pihak. Seperti situasi menang-menang.

"Soal kelulusan, semua tanah tanah kosong negeri ini di bawah bidang kuasa Menteri Besar dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Apabila MB dah minit, baru proses. Sama ada MB dan PSK nak beri, terpulang... tiada halangan. Dulu pun era 70-an kerajaan pernah bantu koperasi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!