Ekspres Perdana syarikat pertama sediakan bas 'stanby'
KOTA BHARU - Ekspres Perdana menjadi syarikat pertama menyediakan bas 'stanby' untuk memendekkan waktu penumpang menunggu sekiranya berlaku kerosakan terutamanya pada musim perayaan.
Pengarah Urusannya, Laili Ismail berkata, tiga bas baharu ditempatkan di tiga hentian terpilih supaya penumpang dapat sampai ke destinasi masing-masing dengan cepat.
Menurutnya, masing-masing satu bas disediakan di hentian Merapoh untuk laluan Kota Bharu-Kuala Lumpur, di Terminal Kuantan bagi penumpang ke Melaka dan Johor, manakala di Grik dikhaskan kepada perkhidmatan Kota Bharu-Utara.
"Sebagai contoh jika bas untuk laluan Kota Bharu-Kuala Lumpur rosak di Gua Musang, jadi bas dari Merapoh akan mengambil penumpang di sana dan akan terus hantar ke Kuala Lumpur. Tidak perlu tunggu lama.
"Ini adalah cara kami untuk memberikan keselesaan dan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada penumpang-penumpang yang membeli tiket dengan kami. Setakat ini saya rasa tidak ada lagi syarikat yang buat seperti ini," katanya kepada media hari ini.
Terdahulu beliau bersama Pengarah Pentadbiran dan Kewangannya, Tengku Noor Hanam Tuan Mahmod dan Ketua Eksekutifnya, Wan Mohd Faiz Wan Hamat meraikan 300 tetamu termasuk sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Ekspres Perdana di pejabatnya.
Dalam pada itu, beliau juga berterima kasih kepada lebih 80,000 penumpang yang bersabar berikutan kelewatan tiba di destinasi masing-masing sepanjang musim perayaan Aidilfiti lalu kerana kesesakan lalu lintas.
"Musim perayaan tahun ini sesak yang sangat pelik. Sehinggakan tempoh perjalanan lima hingga lapan jam lewat dari jadual asal. Terima kasih kerana bersabar," katanya.
Dalam pada itu, sempena Aidiladha nanti, sebanyak 92 bas akan beroperasi termasuk penambahan enam bas baharu.
Katanya tiket akan mula dijual sebulan sebelum Aidiladha dan menasihatkan supaya mendapatkannya di kaunter yang sah untuk mengelak ditipu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!