Orang asli Bateq: Sedih lihat anak bernafas guna mesin
KOTA BHARU - Seminggu selepas menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), bapa kanak-kanak orang asli Bateq meluahkan rasa lega namun dalam masa sama sedih mengenangkan anak bongsunya, masih diletakkan di unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) hospital berkenaan.
Rosli Jong, 30, berkata, dia datang ke HRPZ II, 9 Jun lalu bagi menemani anaknya, Nasri Rosli, 3, yang kritikal akibat radang paru-paru.
Namun katanya, selepas mendapati dia menunjukkan gejala yang sama, menyebabkan dia terpaksa berpisah dengan anaknya sebelum ditempatkan di unit isolasi.
Walaupun ketika sakit kepala, tekak, dada dan sukar bernafas namun Rosli berkata, dia sentiasa mengenangkan keadaan Nasri.
"Saya sedih tengok keadaan dia, tidak sedarkan diri dan masih bergantung pada mesin bantuan pernafasan.
"Saya tak sanggup tengok Nasri yang masih kecil menanggung derita dan paling menakutkan sudah beberapa orang asli meninggal dunia disebabkan jangkitan itu," katanya hari ini.
Selain anak bongsu dari lima beradik ini, Rosli berkata, dua lagi anaknya iaitu Jo dan Ja masing-masing berusia empat dan enam tahun turut dijangkiti penyakit berkenaan dan menerima rawatan di Hospital Kuala Krai.
ARTIKEL BERKAITAN: Orang asli Bateq: Kanak-kanak stabil, bapa makin pulih
Bagaimanapun Rosli berkata, dia bersyukur kerana isteri, Wati Ahmad dan dua lagi anak mereka berada dalam keadaan sihat.
Sementara itu, Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, rawatan Nasri memasuki hari ke lapan dan masih berada dalam keadaan kritikal.
"Kanak-kanak ini dipantau rapi oleh doktor dan jururawat dari semasa ke semasa serta masih bergantung dengan mesin sokongan pernafasan.
"Rosli juga dibenarkan keluar wad dan dilaporkan bebas daripada jangkitan kuman tetapi dia masih berada di bawah pemantauan," katanya pada sidang akhbar Majlis Sambutan Aidilfitri HRPZ II hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!