Rukun Tetangga, persatuan penduduk, NGO tunjang perpaduan
KOTA KINABALU - Rukun Tetangga (RT), persatuan penduduk dan badan bukan kerajaan (NGO) adalah tunjang kepada pemerkasaan perpaduan serta kesejahteraan komuniti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P Waytha Moorthy.
Katanya ketiga-tiga entiti komuniti itu perlu terus bekerjasama dan berganding bahu dalam melaksanakan aktiviti menjurus kepada usaha memperkukuhkan lagi semangat perpaduan demi kelangsungan keharmonian selain sentiasa memberi perhatian utama dalam memastikan keselamatan dan kestabilan negara.
"Kewujudan RT, persatuan penduduk dan NGO dapat memupuk semangat muhibah, hormat menghormati, bertolak ansur serta tolong menolong bagi meningkatkan perpaduan, keselamatan dan kebajikan dalam komuniti. Saya yakin tiga entiti ini mampu berkolaborasi demi mencapai hasrat dan impian dicita-citakan.
Perpaduan bukan satu anugerah yang datang begitu sahaja tetapi ia harus dibina, dipelihara dan diurus sebaiknya supaya kestabilan dan keharmonian negara dapat dikekalkan,” katanya berucap pada Majlis Perhimpunan Perpaduan Demi Negara RT, persatuan penduduk dan NGO Zon Borneo bagi Sabah dan Labuan di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Datuk Baharin Idris. Kira-kira 1,000 warga RT, persatuan penduduk dan NGO di seluruh Sabah dan Labuan menghadiri perhimpunan itu, yang diadakan antara lain bertujuan menyediakan platform berinteraksi dan bertukar pandangan bagi meningkatkan kerjasama dalam melaksanakan aktiviti kejiranan untuk kesejahteraan komuniti.
Majlis perhimpunan itu adalah yang keempat selepas Zon Tengah di Kuala Lumpur, Zon Utara di Kedah dan Zon Selatan di Melaka.
Waytha Moorthy berkata RT, persatuan penduduk dan NGO selaku barisan hadapan dalam komuniti juga perlu sentiasa mengenal pasti masalah serta keperluan komuniti sekali gus menangani isu berkenaan dengan bijak tanpa menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.
Ini bagi memastikan ketiga-tiga entiti berasaskan komuniti itu dapat memainkan peranan sepenuhnya dalam merealisasikan hasrat komuniti untuk menjalani kehidupan selesa, selamat serta sejahtera tanpa sebarang rasa gusar dan curiga, katanya.
Setakat ini, sebanyak 8,183 kawasan RT direkodkan di seluruh negara, dan 1,052 daripadanya adalah di Sabah.
Sementara itu, Baharin ketika ditemui pemberita selepas mewakili Waytha Moorthy merasmikan perhimpunan itu berkata, perpaduan dan keharmonian dinikmati penduduk Sabah dan Labuan perlu terus dipelihara serta dipertahankan selain ia juga patut dicontohi oleh negeri-negeri lain. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!