Pemandu teksi, e-hailing masih rendah carum Perkeso

Mahfuz (dua dari kiri) bergambar bersama enam penerima faedah Perkeso pelbagai kategori yang diraikan di Wisma Perkeso, hari ini.
Mahfuz (dua dari kiri) bergambar bersama enam penerima faedah Perkeso pelbagai kategori yang diraikan di Wisma Perkeso, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing yang mencarum bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri masih rendah, iaitu sekitar 13,000 berbanding jumlah keseluruhan 100,000 orang seluruh negara.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, Perkeso akan menggiatkan kempen kesedaran agar lebih ramai pemandu teksi, termasuk pemandu bas sekolah dan kilang persendirian yang diiktiraf layak mencarum bermula tahun ini.

Menurutnya, bagaimana pun jumlah itu semakin meningkat berbanding ketika skim itu diperkenalkan pada 1 Jun 2017.

“Perkeso akan adakan pertemuan dengan persatuan pemandu teksi untuk perjelaskan kepentingan mencarum bawah skim ini. Saya harap pemandu teksi ambil manfaat ini, kerana walaupun ada peningkatan jumlah pemandu teksi mencarum namun tidak sepadan dengan jumlah keseluruhan,” katanya, selepas majlis penutup program seranta Perkeso dan penyampaian faedah Perkeso serta sambutan Aidilfitri di Wisma Perkeso Kedah, di sini, hari ini.

Mahfuz berkata, antara punca masih ramai belum mencarum termasuk kurangnya kesedaran mengenai manfaat diperolehi, tiada pengetahuan wujudnya skim ini selain enggan dengan alasan tidak mampu mencarum.

“Saya percaya kadar caruman mampu dibayar kerana hanya RM13 sebulan, setelah dilonggarkan syarat daripada setahun. Manfaatnya besar sama seperti pencarum kategori lain, merugikan jika mereka tidak ambil peluang ini,” katanya.

Menurutnya, terdapat empat opsyen pilihan pendapatan bulanan diinsuranskan, iaitu serendah RM157 hingga RM592 setahun.

“Saya juga harap pemandu bas sekolah atau kilang persendirian ambil maklum kerana skim ini turut ditawarkan kepada mereka bermula tahun ini. Jangan beri alasan tak mampu bayar selepas Perkeso longgarkan syarat kepada caruman bulanan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Mahfuz berkata, sejak Januari-Mei 2019, sebanyak 5,122 tuntutan dikemukakan dengan jumlah bayaran faedah mencecah RM19,889,361 untuk daerah Alor Setar, Sungai Petani, Kulim dan Langkawi.

Tahun lalu, sebanyak 11,115 tuntutan dikemukakan di empat daerah terbabit dengan jumlah bayaran faedah sebanyak RM43,303,800.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!