Banjir di Membakut pulih, PPS ditutup
KOTA KINABALU - Keadaan banjir di Membakut pulih sepenuhnya selepas kesemua sembilan mangsa terakhir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Membakut dibenarkan pulang ke rumah masing-masing petang tadi.
Menurut Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Sabah dalam kenyataannya, kesemua mangsa banjir dibenarkan pulang selepas pemantauan dilakukan anggota bertugas mendapati keadaan banjir di dua kampung iaitu Kampung Kayai dan Kampung Baitam Laut pulih dan selamat untuk didiami.
“Keadaan cuaca pada hari ini baik. Kesemua 11 kampung terjejas banjir sudah pulih dan jalan terputus banjir sebelum ini juga sudah boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan. Selepas APM menghantar mangsa ke rumah masing-masing, PPS ditutup secara rasmi pada jam 3 petang,” menurut kenyataan itu.
Selain APM, pemantauan banjir turut membabitkan anggota bomba, polis, Pejabat Daerah Beaufort, Pejabat Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am. – Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!