Syarikat swasta, korporat diseru bantu infrastruktur sekolah
JOHOR BAHRU - Syarikat swasta dan korporat di negara ini digalak turut membantu bagi membangunkan infrastruktur, guru serta pelajar sebagai mendepani Pembelajaran Abad ke 21 (PAK21) masa kini.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, inisiatif pembabitan pihak swasta dan korporat mendekati sekolah bukanlah baharu namun ia perlu diperbanyakkan lagi.
Menurutnya, beliau seru lebih banyak syarikat korporat dan swasta supaya dapat bersama-sama melaksanakan insiatif ini bagi membangunkan bukan sahaja infrastruktur malah pembelajaran pelajar.
"Menerusi inisiatif ini juga, golongan hartawan di negara kita boleh turut menyumbang sama untuk pembangunan.
"Inisiatif mendekati swasta dan korporat juga lebih proaktif untuk bangunkan infrastruktur dan pembelajaran sekolah kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan Anugerah Persatuan Ibu Bapa dan Komuniti Setempat Johor 2019 di Pusat Islam Iskandar Johor di sini hari ini.
Hadir sama Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan dan Pengarah Pendidikan negeri, Azman Adnan.
Bagaimanapun, ketika diminta mengulas lebih lanjut tentang inisiatif tersebut pada sidang media, beliau memaklumkan perkara tersebut akan diumumkan di Putrajaya dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Azman berkata, sebanyak 1,188 sekolah di negeri ini menjadi sekolah rintis PAK21.
"Johor antara negeri yang terawal melaksanakan PAK21 dan banyak sekolah dari negeri lain berkunjung ke sini untuk berkongsi pengalaman.
"PAK21 ini membabitkan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) 4C 1N iaitu Komunikasi, Kolaborasi, Kreativiti, Kritis dan Nilai dengan semua aktiviti dilaksanakan murid atau pelajar.
"Antara konsep P&P PAK21 termasuk penggunaan teknologi maklumat terutama kemudahan komputer lebih meluas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!