MAIK tanggung kos kebumi semula orang asli
KOTA BHARU - Kesemua urusan dan kos pengebumian 14 jenazah orang asli suku Batek yang meninggal dunia sejak awal Mei lepas, sama ada beragama Islam atau bukan, akan ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Timbalan Yang Dipertua , Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata, mana-mana jenazah orang asli suku berkenaan yang beragama Islam akan dikebumikan semula secara Islam sebaik segala prosesnya selesai.
Ketika dihubungi di sini hari ini, beliau berkata, MAIK bersama agensi lain akan membuat proses pengecaman dan sekiranya jenazah itu disahkan Islam, maka jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Koh, Gua Musang.
“Dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli kita akan menyemak data bagi mengetahui bila mereka memeluk Islam dan jika tiada, kita perlu merujuk penduduk kampung terlebih dahulu untuk pengesahan," katanya.
Sebelum ini, 12 daripada 14 mayat orang asli, yang dipercayai meninggal dunia akibat sejenis penyakit, dikebumikan mengikut adat suku Batek, termasuk diletakkan di atas para di atas pokok.
Difahamkan, lapan mayat yang ditemui termasuk kanak-kanak sudah dibawa keluar manakala empat lagi dijangka dibawa keluar oleh 12 anggota pasukan petugas.
Proses bedah siasat dan ujian DNA terpaksa dilakukan ke atas mangsa, yang dipercayai meninggal dunia sejak awal Mei lepas, bagi mengenal pasti punca kematian serta menentukan warisnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!