Serangan kapal: Tiada bukti mencukupi untuk tuding jari
Kenyataan itu dibuat Sheikh Abdullah Zayed al Nahyan ketika sidang media bersama rakan sejawatannya dari Bulgaria, Ekaterina Zaharieva di Sofia semalam.
“Serangan ke atas empat kapal tangki minyak di perairan UAE dikenal pasti berpunca daripada letupan di bawah permukaan air menggunakan teknologi canggih. Keupayaan senjata seperti itu bukan dimiliki pelaku bukan negara atau kumpulan haram. Ia adalah proses terancang yang dilakukan pelaku negara (state actor). Namun, kami tidak mempunyai bukti yang cukup untuk menuduh mana-mana negara yang terlibat,” ujarnya.
Sheikh Abdullah turut meminta usaha diselaraskan dalam kalangan ‘pelaku serantau’ untuk memastikan keselamatan dan kestabilan di rantau terbabit.
“Rantau ini adalah pembekal sumber tenaga utama kepada dunia; Keselamatan kami adalah kunci untuk memastikan kesejahteraan dan kestabilan kesemua,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, UAE menyifatkan serangan ke atas empat kapal tangki minyak di luar perairan strategik Selat Hormuz pada 12 Mei lalu sebagai ‘perbuatan sabotaj’.
Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagaimanapun menuduh Iran sebagai dalang serangan tersebut walaupun ramai penganalisis bebas mendakwa ia adalah operasi false flag dilakukan Washington dan agensi risikan Israel bertujuan untuk meningkatkan lagi ketegangan di Asia Barat.
Minggu lalu, Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengadakan mesyuarat tentang serangan tersebut dan Timbalan Duta Rusia, Vladimir Safronkov memberitahu tiada bukti menunjukkan Iran ada kaitan dengan kejadian tersebut.
Beberapa hari sebelum taklimat terbabit, Penasihat Keselamatan Negara AS, John Bolton berikrar mahu membentangkan bukti tentang penglibatan Teheran dalam serangan Fujairah, namun beliau gagal berbuat demikian.
Tuduhan demi tuduhan yang dilemparkan ke atas Iran termasuk insiden serangan terbaharu di Teluk Oman menyebabkan Iran memberi amaran tentang muslihat sama digunakan Washington yang membawa kepada pencerobohan AS ke atas Iraq pada 2003. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!